KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Tourism Selangor akan melancarkan Tahun Melawat Selangor (TMS) 2025 secara rasmi dengan penganjuran Festival dan Konsert Tahun Melawat Selangor 2025 yang dinantikan ramai, di Setia City Park, Setia Alam, Selangor, mulai esok hingga 22 Dis.
Tourism Selangor dalam kenyataan berkata festival itu akan menampilkan pelbagai aktiviti dan persembahan meriah yang mempamerkan warisan budaya Selangor yang kaya, landskap semula jadi yang menakjubkan dan pelbagai tarikan menarik.
Antaranya ialah pelancaran maskot TMS 2025, SPARK the Fireflies, dan pelancaran portal digital kempen visitselangor2025.my.
“Lagu tema rasmi TMS pula akan dipersembahkan buat kali pertama secara langsung oleh penyanyi terkenal Aizat Amdan dengan diiringi persembahan flash mob yang dinamik, bagi menambahkan lagi keterujaan acara.
“Persembahan hebat artis terkenal seperti Cakra Khan, Datuk Amy Search, Ameng Spring, dan Zubir Khan juga akan menghiburkan pengunjung semasa pelancaran 21 Dis ini,” menurut kenyataan itu.
Tourism Selangor turut mengetengahkan program khusus untuk penggemar makanan, dengan membawa Festival Makanan Cinta, yang membabitkan 70 gerai menawarkan 60 juadah viral Selangor.
Pengunjung juga boleh menerokai pameran pelancongan yang dipenuhi dengan aktiviti interaktif, cabutan bertuah, sesi senaman, dan peluang untuk memenangi hadiah menarik, sambil menikmati pertunjukan bunga api yang menakjubkan.
“Tourism Selangor menjemput orang ramai untuk menyertai acara penting ini dan menjadi sebahagian daripada perjalanan untuk menjadikan TMS 2025 satu kejayaan yang memberangsangkan.
“Festival ini menawarkan peluang yang hebat untuk merasai persembahan terbaik dari seni, budaya dan kegiatan masa lapang yang menarik ditawarkan Selangor,” menurut kenyataan itu.
Kemasukan ke festival adalah percuma, dan Tourism Selangor menggalakkan orang rami untuk mengambil bahagian dan menikmati hiburan yang disajikan pada acara tersebut.
-- BERNAMA