AM

Sabah Peruntuk RM50.9 Juta Bagi Kekalkan Pengecualian Surcaj ICPT

20/12/2024 06:21 PM

KOTA KINABALU, 20 Dis (Bernama) -- Kerajaan Sabah memperuntukkan RM50.9 juta bagi mengekalkan pengecualian surcaj Pelepasan Kos Tidak Berimbang (ICPT) dari 1 Jan hingga 30 Jun tahun depan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata pengecualian ini melibatkan pengguna domestik dengan penggunaan elektrik 1,500 kilowatt jam (kWj) dan kurang; atau bil bulanan kira-kira RM677.

Pengguna bukan domestik dalam kategori tarif voltan rendah CM1 dan ID1, termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) juga akan mendapat pengecualian berkenaan.

“Keputusan ini dibuat Kabinet Sabah awal bulan ini. Subsidi kepada Sabah Electricity dan pemegang lesen awam akan memberi manfaat kepada 693,834 pengguna atau 99 peratus daripada jumlah keseluruhan pengguna elektrik di Sabah.

“Kerajaan negeri juga telah memohon subsidi bahan api berjumlah RM278 juta daripada Kerajaan Persekutuan untuk tujuan ini, yang diperlukan akibat peningkatan kos penjanaan tenaga disebabkan kenaikan harga bahan api yang dipengaruhi faktor global,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kadar surcaj kekal pada 4.06 sen/kWj bagi pengguna domestik dengan penggunaan melebihi 1,500 kWj, serta bagi pengguna bukan domestik dengan keperluan voltan sederhana atau tinggi, dan juga lampu jalan awam.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy