AM

Kerajaan Lanjut Pengecualian Visa Rakyat India Sehingga 2026

21/12/2024 12:21 AM

KUALA LUMPUR, 20 Dis (Bernama) -- Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan pengecualian visa bagi rakyat India yang sepatutnya berakhir pada 31 Disember ini selama dua tahun lagi, iaitu sehingga 31 Disember 2026.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Awang Alik Jeman berkata lanjutan pengecualian visa itu diputuskan selari dengan Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada tahun hadapan serta persediaan untuk Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Terdahulu, kerajaan turut memberikan lanjutan pengecualian visa sehingga tarikh yang sama bagi warganegara China,” katanya menerusi satu kenyataan malam ini.

Beliau menjelaskan bahawa pengecualian visa ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Pelan Liberalisasi Visa yang bertujuan untuk meningkatkan sektor ekonomi dan pelancongan di Malaysia tanpa berkompromi terhadap aspek keselamatan negara.

Pengecualian ini melibatkan tempoh 30 hari kepada warganegara China dan India yang telah berkuat kuasa sejak 1 Disember tahun lalu.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy