BALIK PULAU, 21 Dis (Bernama) -- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua nelayan yang hilang selepas bot mereka dipercayai hanyut di perairan Kerachut, Kuala Sungai Pinang di sini Isnin lepas, dihentikan pada 5 petang hari ini selepas tiada sebarang petunjuk ditemukan untuk mengesan mereka.
Ketua Polis Daerah Barat Daya ACP Sazalee Adam berkata pasukan keselamatan telah menjalankan operasi SAR selama lima hari meliputi kawasan seluas 4,802 batu nautika atau 8,884 kilometer persegi, namun gagal menemukan kedua-dua mangsa dan bot mereka.
“Operasi SAR dijalankan dengan melibatkan 90 pegawai dan anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta nelayan tempatan.
"Kami (pasukan penyelamat) dibantu nelayan dari Kuala Sungai Pinang dan Teluk Bahang, pencarian tidak menjumpai sebarang petunjuk, ekoran itu kami mengambil keputusan untuk menamatkan operasi SAR pada hari ini," katanya pada sidang akhbar di Jeti Kuala Sungai Pinang di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan dua nelayan Muhammad Ikmal Hakimi Ismail, 22, dan Nor Hasrul Abdullah, 25, hilang selepas bot dinaiki mereka dipercayai hanyut di perairan Kerachut, Kuala Sungai Pinang dekat sini, Isnin lepas.
Sazalee berkata walaupun operasi SAR dihentikan, pihak APMM akan terus menjalankan pencarian dalam rondaan rutin mereka dengan dibantu nelayan.
Beliau berkata bot mangsa berkemungkinan dihanyut arus deras ke sebelah utara dan pihaknya akan meminta bantuan pihak berkuasa di Indonesia serta Thailand untuk membantu mengesan mereka.
"Jika bot karam atau pecah, pasti ada serpihan tetapi tiada langsung... jadi kami percaya, mungkin bot mereka hanyut lebih jauh," katanya.
Sementara itu, ibu kepada Muhamad Ikmal Hakimi, Hanita Ismail, 47, berkata anak lelakinya itu sebelum ini bertugas sebagai anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia dan baharu berjinak-jinak dengan aktiviti di laut sejak awal bulan ini.
"Dari awal saya memang tidak benarkan dia ke laut kerana tahu berbahaya, tetapi dia turun juga. Dia ada hubungi saya menerusi WhatsApp pada 7.58 malam Isnin dan beritahu bot mereka dibadai ribut.
"Saya ada tanya dia kenapa tidak balik lagi, malah saya cuba telefon dia pada Selasa lepas namun tiada jawapan. Naluri saya sebagai ibu kuat merasakan dia masih hidup… semalam saya mimpi dia dan kawannya berada di dalam pondok di satu kawasan di tepi laut," katanya.
Ibu kepada Nor Hasrul, Noor Azilah Jamaluddin, 44, berkata mereka sekeluarga ingin melihat anaknya pulang ke pangkuan mereka dengan selamat, namun reda dan bersedia dengan sebarang kemungkinan.
-- BERNAMA