KUALA LUMPUR, 21 Dis (Bernama) -- Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) mengesahkan lima acara bagi lelaki dan wanita akan dipertandingkan di temasya Sukan SEA Thailand 2025 dari 9 hingga 20 Dis tahun depan.
ASTAF dalam kenyataan hari ini memaklumkan lima acara berkenaan ialah regu berpasukan, regu, kuadran, gelung dan chinlone masing-masing untuk lelaki dan wanita.
Kenyataan itu menjelaskan sesebuah negara boleh menyenaraikan sehingga 21 pemain bagi lelaki dan wanita bagi acara sepak takraw serta mininum enam pemain atau maksimum lapan pemain bagi lelaki dan wanita untuk acara chinlone.
Presiden ASTAF Datuk Abdul Halim Kader berkata kelayakan dan perincian acara tersebut diluluskan oleh Mesyuarat Majlis Persekutuan Sukan SEA di Ibu Pejabat Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) Thailand pada 25 Okt lepas.
““Kami mengucapkan penghargaan dan ribuan terima kasih kepada NOC Thailand pimpinan Jeneral Prawit Wongsuwan.
“Kami juga menghargai persiapan Majlis Persekutuan Sukan SEA Thailand dan Ibu Pejabat Sukan SEA diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Chaiyapak Siriwat,” katanya.
Abdul Halim berkata Kumpulan A (Kategori Terbuka) merangkumi acara regu berpasukan lelaki dan wanita manakala Kumpulan B memberi kebenaran kepada setiap negara memilih dua daripada tiga acara iaitu antara regu, kuadran dan gelung untuk lelaki dan wanita.
-Kumpulan C (Kategori Terbuka) memperkenalkan acara kuadran campuran dan Kumpulan D (Kategori Terbuka) untuk acara chinlone bagi lelaki dan wanita.
Setiap negara juga mesti menamakan dua pengadil yang diluluskan ASTAF untuk pertandingan itu.
-- BERNAMA