KUALA TERENGGANU, 23 Dis (Bernama) -- Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) telah mengagihkan RM299 juta wang zakat sejak Januari hingga semalam, kata Yang Dipertuanya Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail.
Beliau berkata keseluruhannya terlapat lapan kategori asnaf dengan agihan terbesar kepada asnaf fakir miskin melibatkan kira-kira 50 peratus daripada jumlah berkenaan, diikuti asnaf fisabillah termasuk pelajar di pelbagai peringkat pengajian.
“Setakat semalam, kita telah mengutip zakat sebanyak RM231.6 juta, masih kurang berbanding sasaran tahun ini iaitu RM285 juta.
“Namun kita yakin dapat mengumpul kira-kira RM50 juta lagi sebelum 31 Dis, kerana lebih banyak syarikat dan individu akan tampil membayar zakat pada saat-saat akhir (hujung tahun),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Zakat KPT Peladang Sdn Bhd kepada MAIDAM, di sini hari ini.
Shaikh Harun berkata MAIDAM menyasarkan kutipan zakat sebanyak RM310 juta pada 2025 dan bagi mencapai sasaran itu, usaha akan dipergiat bagi meningkatkan kutipan zakat perniagaan yang merupakan penyumbang kedua terbesar zakat.
“Di Terengganu, zakat pendapatan merupakan penyumbang terbesar kutipan iaitu 60 peratus, diikuti zakat perniagaan 38 peratus.
“Kita dapati kesedaran dalam kalangan pembayar zakat semakin tinggi dan agihan yang telus seperti dipaparkan di media sosial MAIDAM juga menepis pandangan negatif yang dilemparkan terhadap agensi kutipan zakat,” katanya.
-- BERNAMA