DUNIA

Kedutaan Malaysia Di Tehran Anjur Resepsi Durian Promosi 'Musang King'

24/12/2024 11:35 AM

KUALA LUMPUR, 24 Dis (Bernama) -- Kedutaan Malaysia di Tehran menganjurkan majlis resepsi durian pada Ahad (22 Dis), menonjolkan kepentingan budaya, daya tarikan global dan nilai ekonomi buah itu kepada hadirin yang terdiri daripada para diplomat, penggemar makanan, dan wakil perniagaan.  

Duta Besar Malaysia ke Iran Khairi Omar berkata majlis itu yang memberi tumpuan kepada durian "Musang King", eksport paling ikonik negara yang bukan sekadar meraikan buah digemari ramai, tetapi juga satu usaha mempamerkan keunggulan pertanian Malaysia, bukti kejayaan globalnya dan kegembiraan yang dapat dinikmati bersama melalui makanan.  

“Buah yang luar biasa ini menjadi bukti kepada budaya Malaysia yang kaya, komitmen kami terhadap kualiti dan keramahan kami.

"Ia adalah jambatan yang menghubungkan tradisi dengan inovasi serta menyatukan manusia merentas sempadan,” katanya semasa majlis itu.  

Khairi turut menekankan komitmen Malaysia dalam mempromosikan durian segar berkualiti tinggi ke pasaran antarabangsa dengan berkongsi keunikan Musang King serta perjalanan buah itu dari ladang di Malaysia ke meja makan di seluruh dunia.  

Dikenali sebagai "Raja Buah," durian Musang King terkenal dengan teksturnya yang lemak berkrim, rasa pahit-manis dan isi kuning keemasan yang unik.

Ia juga dianggap sebagai eksport premium.  

Menurut Khairi, "Musang King"  atau Raja Kunyit, dihargai kerana ciri-ciri fizikalnya yang tersendiri seperti bahagian bawah berbentuk bintang dan duri berbentuk piramid. Aromanya yang lembut dan halus menjadikannya pilihan menarik untuk pencinta durian berpengalaman mahupun mereka yang baru mencuba.  

Durian ini kali pertama ditemui pada 1980-an di Gua Musang, Kelantan dan secara rasmi didaftarkan dalam daftar tanaman nasional Malaysia pada 1993.

Reputasinya melonjak sejak itu, menjadikannya antara durian yang paling dicari di dunia.  

Pada 2017, penyelidik berjaya memetakan genom Musang King, yang membuka rahsia genetik di sebalik aroma dan rasanya yang unik, katanya.  

Majlis itu turut menonjolkan kepelbagaian durian dalam masakan, dengan para tetamu berpeluang menikmati hidangan dan pencuci mulut berasaskan durian Musang King seperti ais krim, kek, dan masakan berkuah yang memperlihatkan daya tarikannya dalam dunia kulinari.  

Khairi berkata, dengan pasaran global seperti China menggelarnya sebagai "Hermes of Durian," buah ini menjadi simbol prestij dan kemewahan, dengan harganya boleh mencecah RM105 sebiji.  

Beliau turut menekankan kepimpinan Malaysia dalam penanaman durian.  

Lebih 73,000 hektar tanah di negara ini dikhaskan untuk penanaman durian, dengan Musang King merangkumi 36 peratus daripada jumlah pengeluaran.  

Pada 2022 sahaja, Malaysia mengeksport durian bernilai RM1.14 bilion (AS$1=RM4.48), dengan China menyumbang RM887 juta daripada jumlah itu, kata Khairi.  

Sebagai pencapaian penting dalam hubungan perdagangan Malaysia-China, beliau memaklumkan bahawa Malaysia mula mengeksport durian segar ke China pada 2024.  

Penghantaran sulung itu merangkumi 20 tan durian premium, menandakan permintaan antarabangsa yang semakin meningkat terhadap durian Malaysia.  

Menurut Khairi, dengan permintaan yang semakin bertambah dan inovasi berterusan dalam penanaman durian, Malaysia kekal sebagai peneraju pasaran durian global.  

Acara seperti ini bukan sahaja mempromosikan buah ikonik itu, tetapi juga mengukuhkan hubungan antarabangsa dan meningkatkan penghargaan terhadap sumbangan unik Malaysia dalam dunia kulinari global, katanya.  

Majlis ini bukan sahaja memberi peluang kepada para tetamu untuk menikmati rasa Musang King, tetapi juga memahami kisah dan tradisi yang melambangkan warisan kaya dan visi global Malaysia, tambahnya.  

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy