KUALA LUMPUR, 24 Dis (Bernama) -- Seorang warga emas antara 13 lelaki ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan seksual secara dalam talian melibatkan bahan penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak (CSAM) menerusi Op Pedo semalam.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata suspek berumur 74 tahun itu dan 12 yang lain ditahan dalam operasi bersepadu bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) di enam negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perak, Johor dan Terengganu.
Beliau berkata dalam operasi yang bermula pada 9 malam, 18 pasukan terdiri daripada pegawai Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Bahagian Bantuan Teknikal (D6) dan Makmal Forensik Polis (D10) Bukit Aman dan kontinjen, serta pegawai MCMC membuat pemeriksaan ke atas 18 premis di enam negeri terbabit.
“Pemeriksaan terhadap pelbagai peranti serta peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) milik 13 suspek telah menemukan lebih kurang 40,000 CSAM dan bahan pornografi dewasa," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Selain itu, Razarudin berkata pihaknya turut merampas tujuh komputer, 11 telefon bimbit, sembilan router, tujuh modem serta masing-masing satu komputer riba, cakera video digital dan cakera keras.
“Sebanyak 13 kertas siasatan dibuka dengan kesemua lelaki itu ditahan mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan memiliki bahan lucah Seksyen 292 Kanun Keseksaan.
“Daripada 13 suspek ditahan, lima individu direman empat hari, empat direman tiga hari dan dua lagi direman sehari dengan kesemua reman bermula hari ini manakala dua lagi diberi jaminan polis,” katanya.
Beliau sehubungan itu menasihati orang ramai terutama golongan remaja dan kanak-kanak agar meningkatkan kawalan kendiri, menjaga batas moral dan adab bersosial di dalam talian bagi mengelak daripada menjadi mangsa jenayah serta melaporkan sebarang penyalahgunaan rangkaian kepada pihak berkuasa.
“Polis Diraja Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk jenayah dan tindakan tegas akan diambil kepada pihak yang melakukan dan melibatkan diri dalam aktiviti jenayah,” katanya.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri menerusi catatan di Facebook berkata tindakan pantas dan berkesan seperti operasi bersepadu berkenaan penting untuk memastikan keselamatan kanak-kanak serta memerangi ancaman jenayah yang merosakkan komuniti.
“Saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya Bahagian D11 atas kejayaan pelaksanaan Op Pedo.
“Operasi ini memberi tumpuan kepada usaha menumpaskan kegiatan pedofilia dalam talian dan telah melibatkan kerjasama dengan MCMC. Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat,” katanya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said pula berkata kerajaan perlu mempunyai kapasiti digital yang lebih maju untuk menangani peningkatan jenayah sebegini.
Beliau berkata semua kapasiti agensi berkaitan mesti dikemas kini dan dinaik taraf bagi tujuan sedemikian.
Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, beliau berkata Kerajaan MADANI telah melaksanakan beberapa pindaan kepada akta berkaitan komunikasi serta pembentangan Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian 2024 yang dapat membantu pihak berkuasa mengekang jenayah jelik itu.
“Syabas dan terima kasih kepada PDRM dan pihak-pihak terlibat dalam Op Pedo yang berjaya menumpaskan kegiatan seksual serta antun seksual terhadap kanak-kanak dalam talian,” katanya dalam catatan menerusi X.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh turut merakamkan penghargaan kepada Bahagian D11 PDRM atas pelaksanaan operasi berkenaan dengan kerjasama MCMC.
“Remaja dan kanak-kanak memerlukan sinergi agresif agensi-agensi kerajaan untuk melindungi mereka.
“Diharap lebih banyak operasi bersepadu seperti ini dapat dilaksanakan @fahmi_fadzil (Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil) @saifnasution (Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail),” katanya dalam catatan menerusi X.
-- BERNAMA