JENAYAH & MAHKAMAH

Pasca Banjir: Polis Hantar Lebih Satu Tan Bekalan Makanan Asas Ke Kampung Miak

24/12/2024 05:10 PM

GUA MUSANG, 24 Dis (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menghantar lebih satu tan bekalan makanan asas seperti beras, gula dan gandum kepada penduduk dekat Kampung Miak di sini yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata bekalan itu turut termasuk barangan keperluan untuk mencuci rumah yang disumbangkan oleh beberapa pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) menerusi tabung makanan Ibu Pejabat Polis (IPD) Gua Musang.

"Kampung Miak merupakan sebuah penempatan yang terletak di kawasan pedalaman dengan jarak kira-kira 120 kilometer (km) dari bandar Gua Musang dan perlu meredah perjalanan melalui laluan balak sejauh kira-kira 30km sebelum dapat menyempurnakan penyerahan bantuan ini.

"Bantuan ini dihantar menggunakan lapan buah kenderaan pacuan empat roda dan disertai lebih 20 anggota serta lapan ahli Persatuan Keluarga Polis (PERKEP)," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan bekalan bantuan makanan di Kampung Miak hari ini.

Beliau berkata pihaknya masih mengalu-alukan penyertaan dan penglibatan daripada mana-mana NGO yang ingin turut serta dalam menyumbangkan bantuan kepada penduduk terjejas banjir. 

"Sumbangan boleh dibuat melalui tabung makanan IPD Gua Musang dan pihak kami akan mengumpulkan bantuan yang diterima untuk disampaikan kepada penduduk kampung yang ditimpa musibah ketika musim tengkujuh," katanya.

Wakil penduduk Kampung Miak Tg Usri Tg Hamzah, 56, berkata sebelum ini 40 keluarga di kampung terbabit telah terkepung selama beberapa hari ketika gelombang banjir baru-baru ini.

"Air Sungai Lebir yang meningkat dengan ketara telah menenggelamkan satu-satunya jalan perhubungan mereka di sini. 

"Apabila terperangkap, penempatan kami menjadi seperti 'pulau' kerana kawasan sekeliling telah ditenggelami air. Justeru, saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak kerana beri sumbangan ini dan begitu cakna dengan nasib yang menimpa kami," katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy