JENAYAH & MAHKAMAH

Kanak-kanak 7 Tahun Ditemukan Lemas Di Tali Air

24/12/2024 08:33 PM

IPOH, 24 Dis (Bernama) -- Seorang kanak-kanak ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai lemas ketika keluar bermain bersama rakan-rakan di Tali Air Parit 4 di Parit dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Supt Hafezul Helmi Hamzah berkata laporan berhubung kejadian malang menimpa mangsa yang berusia 7 tahun itu diterima daripada orang awam sekitar 5.45 petang.

“Mangsa yang ditemui kira-kira 30 meter dari tebing tali air itu telah dibawa penduduk tempatan ke Klinik Kesihatan Bota Kiri (Parit) dan hasil pemeriksaan penolong pegawai perubatan mengesahkan mangsa meninggal dunia.

“Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Seri Iskandar dan kira-kira 9.30 pagi tadi, hasil bedah siasat oleh pegawai perubatan mendapati punca kematian mangsa ialah "pulmonary edema consistent with drowning" (lemas)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, beliau menasihatkan ibu bapa supaya sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak daripada bermandi-manda di kawasan sungai dan tali air kerana arus adalah deras terutama ketika musim Monsun Timur Laut yang dijangka berterusan sehingga penghujung Mac tahun depan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah mengesahkan mangsa adalah Muhammad Ammar Razif, 7, pelajar Sekolah Kebangsaan Pasir Gajah, Parit.

Menerusi hantaran di Facebooknya hari ini beliau berkata pada 10 pagi tadi suasana pilu menyelubungi pekarangan Unit Forensik Hospital Seri Iskandar ketika proses menuntut jenazah kanak-kanak tersebut oleh ahli keluarga mangsa. 

Khairudin berkata ketika sampai di unit tersebut beliau sempat berbual dengan ayah kanak-kanak itu  dikenali sebagai Abang Jamhari tentang bantuan dan pertolongan diperlukan semasa proses bedah siasat serta urusan pengebumian jenazah.

“Saya doakan moga Allahyarham adik Muhammad Ammar Razif ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan soleh,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy