AM

Program Tarif Elektrik Hijau Diteruskan Bagi 2025 Dengan Kadar Premium Sama

26/12/2024 11:23 AM

PUTRAJAYA, 26 Dis (Bernama) -- Program Tarif Elektrik Hijau (GET) akan diteruskan pada 2025 dengan penawaran kuota sekurang-kurangnya 6,600 GigaWatt jam (GWj) pada kadar premium yang sama, iaitu 10 sen/kilowatt jam (kWj) untuk pengguna voltan rendah dan 20 sen/kWj bagi pengguna voltan sederhana serta tinggi.

Menurut kenyataan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), beberapa penambahbaikan akan dilaksanakan bermula 2025, termasuk pembukaan langganan jangka panjang yang membolehkan pengguna membuat langganan GET sehingga 2027.

Penambahbaikan ini dijangka memberikan kepastian dalam perancangan langganan bekalan elektrik hijau, khususnya bagi syarikat korporat dan industri.

Program GET, yang mula diperkenalkan pada 2021, merupakan antara inisiatif strategik kerajaan untuk menawarkan bekalan elektrik yang dijana sepenuhnya daripada sumber Tenaga Boleh Baharu (TBB) kepada pengguna elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang ingin mengurangkan jejak karbon mereka.

Sejak dilancarkan, Program GET telah membekalkan secara kumulatif sebanyak 9,400 GWj tenaga elektrik hijau kepada lebih daripada 3,000 pengguna elektrik dalam pelbagai kategori dan turut membantu pengguna memenuhi komitmen tadbir urus alam sekitar, sosial, dan korporat (ESG), terutamanya dalam menghindarkan pelepasan gas rumah kaca melalui penggunaan tenaga elektrik hijau.

Selaras dengan tuntutan komitmen tadbir urus alam sekitar, sosial, dan korporat (ESG) seperti yang diperlukan oleh syarikat korporat, kerajaan telah memutuskan bahawa pengguna yang melanggan Program Tarif Elektrik Hijau (GET) pada 2025 tidak akan dikenakan caj kadar pelepasan kos tidak seimbang (ICPT).

Langkah ini bertujuan memberikan gambaran bahawa tenaga elektrik hijau tidak terdedah kepada pergerakan harga bahan api.

Menuru PETRA, kadar premium GET bagi 2025 kekal pada kadar 10 sen/kWj untuk pengguna kediaman dan bukan kediaman voltan rendah, termasuk kategori tarif Perdagangan B, Perindustrian D, Perlombongan F, Pertanian Spesifik H, serta Lampu Jalan G dan G1.

Bagi pengguna bukan kediaman voltan sederhana dan tinggi, kadar premium ditetapkan pada 20 sen/kWj, melibatkan kategori tarif Perdagangan C1, C2, C3, dan C4, Perindustrian E1, E2, dan E3, Perlombongan F1 dan F2, serta Pertanian Spesifik H1 dan H2.

Langganan program GET boleh dilakukan bermula 1 Mac 2025 melalui portal myTNB, dengan pilihan untuk membuat langganan berkesan bermula dari 1 Jan 2025.

PETRA berharap, dengan ketetapan dan penambahbaikan ini, Program GET akan terus memperkukuhkan kredibiliti melalui penawaran dan tadbir urus yang selaras dengan prinsip kelestarian.

Maklumat lanjut mengenai program ini boleh didapati di laman sesawang rasmi TNB.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy