AM

6,611 Projek Kerajaan Tempatan, Peruntukan Hampir RM1 Bilion Dilaksana Tahun Ini

27/12/2024 03:45 PM

IPOH, 27 Dis (Bernama) -- Sebanyak 6,611 projek membabitkan kerajaan tempatan dengan peruntukan RM993.73 juta atau hampir RM1 bilion telah dilaksanakan di seluruh negara sepanjang tahun ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata ia meliputi 20 projek berskala besar, 3,697 projek berskala kecil, 357 projek pembangunan gerai dan kiosk serta satu projek pendigitalan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurut Nga, sebanyak 362 projek dilaksanakan di bawah inisiatif Belanjawan 2024, termasuk 87 projek peningkatan kesihatan gerai atau warung kecil, 93 projek sistem perparitan dan longkang, serta 182 projek penyelenggaraan kolam takungan banjir.

Beliau berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) turut menaik taraf infrastruktur awam dan membina baharu di kawasan Kampung Baru Cina, melibatkan 2,168 projek dan enam projek geran pembangunan sosioekonomi.

"Berikutan kecekapan dan prestasi ini, kami warga KPKT amat bersyukur kerana kementerian kami telah dipilih oleh ICU JPM (Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri) sebagai kementerian berprestasi paling tinggi, serta pemenang Anugerah Pembangunan Negara Tahun 2024," katanya dalam sidang media hari ini.

Terdahulu, Nga mengadakan lawatan ke MyKiosk Meru Raya di sini sebelum merasmikan program Sentuhan Kejayaan KPKT 2024, yang merupakan penutup bagi Jelajah Sentuhan Kejayaan KPKT yang telah dilaksanakan oleh jabatan dan agensi kementerian itu di 10 lokasi sejak 1 Dis 2024.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 107 projek dengan peruntukan RM168.7 juta telah dilaksanakan di Parlimen Tambun di bawah peruntukan projek pembangunan KPKT untuk tahun 2024.

Nga berkata Parlimen Tambun telah menerima 55 projek di bawah Jabatan Kerajaan Tempatan bernilai RM17.02 juta. Selain itu, satu projek Program Residensi Rakyat (PRR) Tambun dengan peruntukan RM149.21 juta dan tujuh projek Rumah Mesra Rakyat (RMR) di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) bernilai RM567,948.50 turut dilaksanakan.

Beliau juga memaklumkan bahawa KPKT melalui Bahagian Kesejahteraan Komuniti dan Bahagian Kampung Baru Cina telah melaksanakan 34 projek baik pulih dan pembinaan rumah baharu dengan kos RM734,640. Selain itu, RM1.71 juta diperuntukkan untuk 10 projek menurap semula jalan dan menaik taraf taman rekreasi di kawasan Kampung Baru Cina.

"Komitmen kerajaan adalah melaksanakan projek berintegriti, dengan tatakelola yang baik serta langkah-langkah penjimatan untuk mengurangkan ketirisan dan pemborosan, kita dapat menghasilkan projek yang memberi impak tinggi dan mengutamakan kesejahteraan rakyat," katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy