AM

Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Raja Perlis Pada April 2025

27/12/2024 08:35 PM

KANGAR, 27 Dis (Bernama) -- Sambutan Jubli Perak bersempena dengan 25 tahun pemerintahan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pada 17 April 2025, antara 56 acara pelancongan yang dijadualkan berlangsung tahun depan sekali gus dapat merancakkan lagi Tahun Melawat Perlis 2024-2025.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Seni dan Budaya serta Pembangunan Luar Bandar Perlis Abu Bakar Hamzah berkata selain itu, penganjuran Festival Layang-Layang Antarabangsa yang melibatkan penyertaan 41 negara turut dirancang dalam kalendar acara pelancongan Perlis 2025.

“Sebanyak 36 acara dianjurkan jabatan dan agensi kerajaan manakala 20 lagi oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Sambutan Jubli Perak dan program Citra Warna Kuala Perlis bersempena dengan Ulang Tahun Keputeraan ke-82 Tuanku Raja Perlis pada Mei 2025 turut menjadi tarikan utama,” katanya pada sidang media selepas melancarkan kalendar acara pelancongan negeri Perlis 2025 di sini hari ini.

Abu Bakar berkata kalendar acara pelancongan itu akan dimuat naik di laman sesawang Tourism Perlis untuk memudahkan penggiat industri pelancongan mendapatkan maklumat serta membantu orang ramai merancang percutian mereka.

“Kerajaan negeri juga akan terus mengadakan sesi libat urus dengan pemain industri bagi mempromosikan Perlis sebagai destinasi pelancongan utama,” katanya yang turut memaklumkan acara tahunan negeri Perlis seperti Pesta Angin Timur, Pesta Air Kuala Perlis dan Perkampungan Sunah juga dijadualkan dalam kalendar acara pelancongan itu.

Beliau berkata kerajaan negeri menyasarkan lima juta pelancong mengunjungi Perlis tahun depan.

Sementara itu, katanya kerajaan negeri akan melaksanakan inisiatif menonjolkan lokasi pelancongan menarik di Perlis yang kurang dikenali, seperti Gunung Wang Raja dan Kampung Wai untuk menarik lebih ramai pelancong pada 2025.

Abu Bakar berkata Perlis memiliki kelebihan dari segi suasana alam semula jadi mendamaikan dan usaha mempromosikan lokasi pelancongan itu akan dilakukan secara menyeluruh dengan kerjasama kerajaan dan NGO.

“Kawasan (pelancongan) sedia ada yang kita nampak muram akan dinaik taraf semula termasuk kemudahan tandas dan surau bagi keselesaan pengunjung,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy