JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Tahan Guru Mengaji Warga Asing Disyaki Dera Anak Murid 12 Tahun

29/12/2024 06:15 PM

KUALA LUMPUR, 29 Dis (Bernama) -- Seorang guru mengaji warga asing ditahan selepas disyaki mendera anak muridnya berusia 12 tahun kerana enggan membaca al-Quran, dalam kejadian di Kampung Melayu Ampang, dekat sini Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail berkata lelaki berusia 37 tahun itu ditahan pada pukul 5.45 petang Isnin, sehari selepas bapa kepada kanak-kanak lelaki terbabit, yang juga warga asing dari negara yang sama, hadir membuat laporan mendakwa anaknya telah dipukul oleh suspek.

“Lelaki itu mendakwa semasa anaknya sampai di rumah, terdapat kesan luka di belakang badan akibat dipukul oleh suspek menggunakan rotan.

“Mangsa telah dibawa ke Hospital Ampang untuk pemeriksaan lanjut. Punca mangsa dipukul adalah kerana mangsa enggan membaca al-Quran seperti diarah oleh suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Azam berkata suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau dan ujian saringan air kencing suspek disahkan negatif dadah.

“Permohonan reman terhadap suspek di Mahkamah Ampang telah dibenarkan selama tujuh hari bermula 24 Dis sehingga esok,” katanya menambah kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 atas penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak.

Beliau turut memberi amaran dan nasihat kepada orang ramai supaya tidak terlibat dalam apa-apa perbuatan penderaan atau pengabaian pada kanak-kanak.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy