AM

Pesawat Terhempas : Malaysia Zahir Ucapan Takziah Kepada Korea Selatan Dan Thailand

29/12/2024 07:27 PM

KUALA LUMPUR, 29 Dis (Bernama) -- Malaysia menzahirkan ucapan takziah kepada Korea Selatan dan Thailand berikutan tragedi pesawat terhempas di Lapangan Terbang Muan di Korea Selatan hari ini.

Ucapan takziah itu disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu hantaran di Facebook beliau hari ini, menzahirkan rasa sedih dan simpati kepada keluarga yang kehilangan orang tersayang dalam tragedi itu.

“Malaysia bersolidariti bersama rakyat Korea Selatan dan Thailand dalam masa yang sedih ini. Kami mengucapkan takziah kepada semua yang terlibat.

“Pada ketika ramai antara kita berkumpul dengan keluarga dan rakan-rakan mengingati dan menghargai orang yang kita sayang, kehilangan yang dahsyat ini menjadi peringatan betapa berharga dan rapuhnya kehidupan ini. Mari kita luangkan sedikit masa untuk menghargai orang-orang di sekeliling kita,” kata beliau.

Terdahulu, Kedutaan Besar Malaysia di Seoul mengesahkan tiada rakyat Malaysia berada dalam pesawat penumpang malang Korea Selatan itu, yang terhempas di sebuah lapangan terbang di barat daya negara itu pada Ahad.

Agensi Berita Yonhap melaporkan lebih 151 orang maut manakala dua mangsa berjaya diselamatkan selepas pesawat yang membawa 181 penumpang termasuk enam anak kapal itu terbakar selepas ia terkeluar daripada landasan dan merempuh tembok pagar di lapangan terbang.

Memetik pihak berkuasa, agensi berita itu melaporkan bahawa semua mangsa dipercayai meninggal dunia kecuali dua orang.

Kebanyakan penumpang penerbangan yang tiba dari Bangkok itu ialah warga Korea manakala dua warga Thailand.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy