Oleh Norhidayyu Zainal
PUTRAJAYA, 31 Dis (Bernama) -- Pada usia yang baru mencecah 21 tahun, Muhammad Syakir Alif Che Razali mengorak langkah berani menubuhkan syarikat yang menyediakan perkhidmatan umrah dan haji, satu bidang yang jarang diceburi oleh anak muda seusianya.
Keyakinan anak muda dari Bachok, Kelantan itu untuk menerajui Hijrah Alliance Travel Sdn Bhd sejak awal tahun ini bersandarkan kesedaran bahawa selain potensi besar dari segi ekonomi, bidang tersebut juga memberikan nilai kerohanian yang mendalam.
“Saya mendapat pendedahan awal daripada keluarga kerana bapa pernah memiliki syarikat menawarkan perkhidmatan yang sama tetapi ditutup akibat pandemik COVID-19. Selain itu, saya juga bercita-cita untuk mempunyai syarikat sendiri sebelum berusia 25 tahun,” katanya ketika ditemui Bernama, di sini baru-baru ini.
pic-2
Menurut anak muda itu, minatnya dalam bidang itu juga timbul selepas menyedari pekerjaan membawa jemaah mengerjakan umrah memberikan ganjaran pahala kepadanya selain menjana pendapatan.
Selepas menjalani latihan industri selama sebulan di Makkah ketika mengikuti pengajian Diploma Pengurusan Haji Umrah di bawah YEG Academy, minatnya terhadap bidang itu terus mengukuh.
Bagi meningkatkan pengetahuan, Muhammad Syakir Alif kini melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Haji Umrah yang ditawarkan oleh YEG Academy dengan kerjasama Kolej Antarabangsa Inovatif.
“Bagi saya ilmu teori dan praktikal adalah dua perkara berbeza. Pengajian teori penting untuk melengkapi pengalaman praktikal yang ada. Saya ingin memahami lebih mendalam tentang dunia pengurusan umrah dan haji, sebab itu saya perlu ada ilmu untuk mengembangkan syarikat saya lebih jauh,” katanya.
pic-3
Bekas pelajar Maahad Muhammadi Lelaki di Kelantan itu juga bercita-cita untuk memperoleh lesen Pengelola Jemaah Haji dalam tempoh lima tahun.
Bersama-sama dengan dua sahabat baiknya, Muhammad Syakir Alif berjaya menguruskan lebih 60 jemaah umrah pada tahun ini dan menyasarkan enam perjalanan ke Makkah dan Madinah setiap tahun.
Kemahiran berbahasa Arab menjadi aset berharga bagi anak muda ini dalam menguruskan jemaah umrah di Tanah Suci.
“Orang Arab sangat menghargai bahasa mereka dan kurang gemar menggunakan bahasa Inggeris. Kemahiran yang saya ada ini memudahkan komunikasi saya dengan jemaah dan pihak berkuasa di sana,” jelasnya.
-- BERNAMA