EKONOMI

PMI Pembuatan Malaysia Pada Disember Susut Kepada 48.6 – S&P Global

02/01/2025 05:30 PM

KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) -- Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan S&P Global Malaysia yang diselaraskan mengikut musim susut kepada 48.6 pada Disember 2024 daripada 49.2 pada November, dengan peningkatan kos pada kadar paling perlahan dalam tempoh empat tahun setengah, sejak Jun 2020.

S&P Global berkata penurunan pada Disember adalah yang paling ketara sejak Mac 2023, mencerminkan trend menurun dalam sektor pembuatan Malaysia.

"Secara positif, inflasi harga input menurun dengan ketara pada bulan itu dan merupakan yang terendah dalam urutan 55 bulan semasa kenaikan harga input," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas prestasi itu, ahli ekonomi Market Intelligence S&P Global Usamah Bhatti berkata pusingan akhir data PMI 2024 menunjukkan bahawa permintaan dalam sektor pembuatan Malaysia kekal lemah pada Disember, memandangkan pengeluaran dan aliran masuk pesanan baharu berada pada kadar sederhana.

"Data itu menunjukkan ia masih konsisten dengan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada suku ketiga tahun ini, walaupun pada kadar yang lebih perlahan. Ini turut menunjukkan keadaan berkemungkinan kekal tidak berubah dalam jangka pendek," katanya.

Menurut Usamah, data PMI Disember itu memperlihatkan firma memilih untuk menyelesaikan pesanan sedia ada tanpa pertumbuhan pesanan baharu, di samping mengurangkan guna tenaga, pembelian dan pegangan saham.

Bagaimanapun, beliau berkata tekanan inflasi berkurangan secara mendadak pada Disember, dengan dengan purata beban kos meningkat pada kadar paling perlahan sejak Jun 2020.

"Tekanan kos yang lebih rendah juga memberi keyakinan mengenai prospek untuk 2025, apabila firma menyatakan keyakinan yang kukuh disokong oleh peningkatan menyeluruh dalam permintaan, di dalam dan di pasaran antarabangsa," katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy