AM

PA Desa Rejang: Satu Lif Beroperasi, Dua Lagi Dalam Proses Penggantian - Zaliha

03/01/2025 06:21 PM

KUALA LUMPUR, 3 Jan (Bernama) -- Satu daripada tiga lif di Blok D Perumahan Awam (PA) Desa Rejang yang sebelum ini mengalami kerosakan sudah pun diperbaiki dan boleh digunakan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata kerja-kerja membaiki lif berkenaan selesai dilakukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) manakala dua unit lagi masih dalam proses. 

“Saya akan pantau proses penggantian dan memastikan pelaksanaannya dipercepat.

“Saya juga telah arahkan DBKL untuk mencari penyelesaian jangka panjang berkenaan isu lif di PA dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) serta melihat kembali peranan Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan (MC) dalam isu ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Pada 31 Dis lepas, DBKL memberi jaminan kepada penduduk di PA Desa Rejang bahawa isu berkenaan diberikan perhatian serius dan tindakan segera dilakukan bagi memastikan lif kembali beroperasi terutamanya di Blok D.

PA Desa Rejang hari ini menerima kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum itu mengadakan lawatan ke Lestari Niaga di Pusat Penjaja Wirawati dan Seksyen 10, Wangsa Maju di sini.

Sementara itu, Zaliha yang mengiringi Anwar melawat dua tapak Lestari Niaga berkata program itu cetusan idea Perdana Menteri dalam usaha untuk memastikan fasiliti gerai peniaga kecil dan penjaja dinaik taraf serta diindahkan untuk keselesaan semua.

“Ia juga untuk memberi ruang kepada peniaga dan penjaja berniaga dengan lebih kondusif,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy