PUTRAJAYA, 3 Jan (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) komited untuk menangani isu kekurangan dan ketidakseimbangan pengagihan petugas tahun ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata perkara berkenaan ditangani dengan pendekatan menyeluruh kerajaan bagi memastikan perancangan dan penggunaan sumber manusia yang berkesan dapat dilaksanakan.
“Ia memerlukan pendekatan menyeluruh kerajaan di peringkat kementerian untuk menyelesaikannya kerana ia melibatkan pihak lain seperti Kementerian Kewangan dan Jabatan Perkhidmatan Awam.
“Saya tahu rakyat tertumpu kepada kami untuk menyelesaikan masalah ini dan kami akan lakukan yang terbaik insya-Allah. Kita ada pasukan yang sedang berusaha untuk menyelesaikannya,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan amanat tahun baharu kepada warga kerja KKM di sini hari ini.
Terdahulu, dalam ucapannya, beliau menyeru agar warga kerja KKM menetapkan hala tuju inisiatif penjagaan kesihatan pada tahun ini.
Beliau berkata KKM akan menumpukan kepada pelaksanaan beberapa pelan tindakan yang telah dirangka sejak dua tahun lepas khususnya mempromosikan keperluan pencegahan penyakit kepada orang ramai.
"Tumpuannya adalah bagi menangani bebanan penyakit dengan lebih proaktif dan komprehensif melalui pencegahan dan saringan," katanya.
Dzulkefly berkata KKM juga menyasarkan untuk mengubah pembiayaan penjagaan kesihatan di negara ini dan menangani inflasi perubatan yang tinggi dengan memperkenalkan kumpulan berkaitan diagnosis (DRG) dan CRG (kumpulan risiko klinikal).
“Jawatankuasa Mekanisme Pembayaran Kesihatan Kebangsaan berdasarkan DRG telah ditubuhkan sejak Julai 2024, antara lain untuk menetapkan hala tuju strategik bagi mekanisme pembayaran kesihatan negara.
“Ahli jawatankuasa ini termasuk wakil daripada enam kementerian, badan berkanun seperti Bank Negara Malaysia, penyedia insurans, Persatuan Perubatan Malaysia, Persatuan Hospital Swasta Malaysia, hospital universiti awam, hospital tentera dan lain-lain,” katanya.
Dzulkefly berkata kementerian juga akan mempromosikan kepentingan insurans kesihatan swasta (PHI) kepada orang ramai.
“Terdapat juga golongan T20 yang tidak mempunyai perlindungan insurans, mereka terpaksa membayar sendiri dan ini menyebabkan inflasi. Jadi, kita akan galakkan mereka untuk memahami peranan PHI dan Rakan KKM kita juga akan menerima PHI,” katanya.
-- BERNAMA