Oleh Siti Radziah Hamzah
KUALA LUMPUR, 3 Jan (Bernama) -- Indeks petunjuk utama Bursa Malaysia mengakhiri dagangan Jumaat dengan lebih rendah, meneruskan penurunan susulan aktiviti pengambilan untung selepas mencatat momentum peningkatan baru-baru ini.
Pada 5 petang, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 3.41 mata atau 0.21 peratus kepada 1,629.46 berbanding 1,632.87 sebelum ini.
Indeks itu dibuka menokok 2.07 mata ke paras 1,634.94 dan bergerak dalam julat 1,626.04 hingga 1,636.08 sepanjang sesi dagangan hari ini.
Bagaimanapun, keadaan di pasaran meluas adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 631 berbanding 477 manakala 502 kaunter lain tidak berubah, 745 tidak diniagakan dan 11 lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan meningkat kepada 3.70 bilion unit bernilai RM2.87 bilion daripada 2.64 bilion unit bernilai RM1.97 bilion yang dicatatkan semalam.
Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng memberitahu Bernama, indeks FBM KLCI berkemungkinan mendapat pemangkin bagi peningkatan seterusnya jika kekal melebihi paras 1,300.
Prestasi bursa juga seiring pasaran serantau yang kebanyakannya lebih rendah dengan indeks SSE Compite China turun 1.57 peratus kepada 3,211.43; Nikkei 225 susut 0.96 peratus kepada 39,894.54; Hang Seng sebaliknya menokok 0.7 peratus kepada 19,960.27 manakala Shenzhen turun 1.89 peratus kepada 9,897.12.
Saham wajaran tinggi menyaksikan Hong Leong Bank meraih lapan sen kepada RM20.50; CelcomDigi menokok lima sen kepada RM3.70; Press Metal menambah dua sen kepada RM4.85; Petronas Chemicals meningkat 13 sen kepada RM4.99; YTL Power turun tujuh sen kepada RM4.46; Maybank dan Public Bank masing-masing susut empat sen kepada RM10.14 dan RM4.50; CIMB berkurangan dua sen kepada RM8.11 dan TNB merosot 16 sen kepada RM14.60.
Bagi saham aktif, Datasonic naik setengah sen kepada 42.5 sen; MYEG menambah 2.5 sen kepada 98.5 sen; Dagang NeXchange menokok tiga sen kepada 43 sen; JCY International tidak berubah pada 57.5 sen dan SNS Network turun setengah sen kepada 69.5 sen.
Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas turun 2.94 mata kepada 12,533.64; Indeks FBM Emas Shariah susut 3.29 mata kepada 12,546.49 dan Indeks FBMT 100 berkurangan sebanyak 10.93 mata kepada 12,202.89.
Indeks FBM ACE melonjak 40.46 mata kepada 5,472.56 dan Indeks FBM 70 meningkat 37.40 mata kepada 18,867.33.
Bagi sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meraih 0.32 mata kepada 174.45; Indeks Tenaga menokok 20.88 mata kepada 851.30; Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 37.39 mata kepada 19,023.06 dan Indeks Perladangan berkurangan 24.92 mata kepada 7,598.51.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama menambah kepada 1.87 bilion unit bernilai RM2.56 bilion berbanding 1.38 bilion unit bernilai RM1.73 bilion, semalam.
Selain itu, jumlah waran menokok kepada 1.26 bilion unit bernilai RM121.27 juta berbanding 804.29 juta unit bernilai RM74.81 juta semalam.
Di Pasaran ACE, jumlah dagangan meningkat kepada 562.64 juta unit bernilai RM187.99 juta daripada 457.16 juta unit bernilai RM166.07 juta sebelum ini.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 182.62 182.62 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (314.29 juta), pembinaan (190.70 juta), teknologi (433.60 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (48.41 juta), hartanah (332.37 juta), perladangan (28.11 juta), REIT (21.49 juta), dana tertutup (1,200), tenaga (116.61 juta), penjagaan kesihatan (92.74 juta), telekomunikasi dan media (22.93 juta), pengangkutan dan logistik (32.94 juta), utiliti (53.23 juta) dan amanah perniagaan (611,800).
-- BERNAMA