AM

Hormat Titah Agong, Jangan Sertai Sebarang Himpunan - KPN

03/01/2025 09:07 PM

KUALA LUMPUR, 3 Jan (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta orang ramai untuk tidak menyertai sebarang perhimpunan dan menghormati titah Yang di-Pertuan Agong berhubung kuasa prerogatif Seri Paduka Baginda.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata kuasa itu telah termaktub dalam Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memandu semua pihak yang berhasrat untuk mendapatkan pengampunan perlu mengemukakan permohonan kepada Lembaga Pengampunan dan bukannya melalui perhimpunan atau apa jua saluran tidak mengikut undang-undang.

"Demi menghormati titah kenyataan Yang di-Pertuan Agong dan menjaga keselamatan serta ketenteraman awam, PDRM menggesa supaya orang ramai tidak menyertai apa-apa jua perhimpunan yang dianjurkan oleh mana-mana pihak.

"Justeru, semua rakyat digesa untuk sentiasa mendukung prinsip Rukun Negara khususnya Kedaulatan Undang-undang serta Kesopanan dan Kesusilaan yang merupakan pancang kepada kemakmuran dan keharmonian negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Razarudin berkata PDRM menjunjung hormat titah Yang di-Pertuan Agong.

Istana Negara dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa permohonan pengampunan atau pengurangan hukuman bagi mana-mana banduan hendaklah dikemukakan sendiri oleh banduan berkenaan untuk dipertimbangkan Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong.

Kenyataan itu menyebut Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa prerogatif mengikut peruntukan Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya selain boleh meremit, menggantung atau meringankan apa-apa hukuman telah dijatuhkan oleh mahkamah bagi kesalahan terbabit.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy