KUANTAN, 3 Jan (Bernama) -- Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kilometer 20, Jalan Pekan-Baru Balik dekat sini pada tengah hari ini.
Ketua Polis Daerah Pekan Supt Mohd Zaidi Mat Zin berkata kemalangan yang berlaku kira-kira jam 1 tengah hari itu mengakibatkan penunggang motosikal Mohd Rizan Saari, 35, yang merupakan pemandu lori, meninggal dunia di tempat kejadian.
Beliau berkata SUV jenis Proton X50 itu dipandu oleh seorang wanita berusia 36 tahun bersama dua anaknya yang berusia lapan dan empat tahun dalam perjalanan dari arah Batu Balik menuju ke bandar Pekan, manakala penunggang motosikal tersebut datang dari arah bertentangan.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila SUV berkenaan hilang kawalan selepas melanggar objek yang tidak dikenal pasti di atas jalan raya, sehingga terbabas dan melanggar mangsa yang berada di laluan bertentangan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata wanita tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan manakala dua anaknya mengalami kecederaan ringan di bahagian gigi dan muka.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.