BANGKOK, 3 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra dan suaminya dilaporkan memiliki kekayaan bersama berjumlah 13.9 bilion baht (100 baht = RM13.05) serta hutang sebanyak 4.4 bilion baht, menurut pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Kebangsaan (NACC).
Akhbar harian Inggeris terkemuka Thailand, Bangkok Post melaporkan di platform dalam talian pada Jumaat yang pendedahan aset dan liabiliti oleh NACC, susulan pelantikan Paetongtarn sebagai Perdana Menteri ke-31 pada 6 Sept tahun lalu, termasuk dua rumah di London dan dua lot tanah di wilayah Hokkaido, Jepun.
Menurut laporan itu, aset pasangan tersebut berjumlah 13.99 bilion baht dengan nilai aset Paetongtarn sebanyak 13.84 bilion baht dan aset suaminya Pitaka Suksawat, bernilai 141.11 juta baht. Anak-anak mereka memiliki aset bernilai 500,000 baht.
Sementara itu, jumlah hutang pasangan tersebut adalah 4.44 bilion baht.
Pendedahan itu turut menunjukkan yang Paetongtarn melaporkan pendapatan tahunan sebanyak 265 juta baht, termasuk gaji sebanyak 3.40 juta baht, dividen 259.26 juta baht, faedah 2 juta baht dan sewa 890,000 baht.
Laporan itu juga menyenaraikan pegangan hartanah beliau, termasuk 12 lot tanah dengan tiga di wilayah Pathum Thani bernilai 9.9 juta baht dan dua lot di Hokkaido yang dibeli pada 15 Dis 2019 dengan harga 15 juta baht setiap satu.
Beliau turut memiliki dua hartanah sewa di London, satu bernilai 111.61 juta baht dan satu lagi 208.34 juta baht serta lima unit kondominium di Bangkok, dua rumah di Nonthaburi dan Bangkok serta bangunan komersial di Phetchaburi.
Pada usia 38 tahun, Paetongtarn merupakan perdana menteri termuda Thailand. Beliau adalah anak bongsu kepada Thaksin dan anak saudara kepada bekas Perdana Menteri Yingluck Shinawatra.
-- BERNAMA