KUALA LUMPUR, 4 Jan (Bernama) -- Filem terbaharu arahan Datuk Afdlin Shauki, Baik Punya Ah Long, terpilih untuk ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Rotterdam (IFFR) yang akan berlangsung dari 30 Jan hingga 9 Feb depan.
Afdlin Shauki atau nama sebenarnya, Afdlin Shauki Aksan, 54, berkata kejayaan membawa filem bergenre muzikal ke IFFR membantu menebus kekecewaannya selepas filem berkenaan kurang mendapat sambutan di pasaran tempatan.
"Filem ini merupakan eksperimen saya, iaitu saya gabungkan elemen filem dan muzikal, namun kurang mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat tempatan. Jujurnya, saya benar-benar hampa, tambahan pula produksi filem ini agak rumit, seperti menghasilkan sebuah filem aksi.
“Alhamdulillah, apabila diterima di peringkat antarabangsa yang lebih terbuka terhadap genre muzikal, saya sangat bersyukur. Saya berharap filem ini dapat menarik perhatian penonton di Eropah dan membuka peluang untuk karya muzikal saya yang seterusnya kerana ini adalah genre yang saya minat,” katanya kepada media selepas pelancaran siri Original Unifi TV Din Tiger, semalam.
Baik Punya Ah Long diterbitkan oleh Astro Shaw dengan kerjasama Petra Vision Works serta Golden Screen Cinemas mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 12 Sept lepas dan hanya mencatat kutipan RM1 juta selepas tiga hari tayangan.
pic-2
Filem yang menggandingkan dua pelawak popular Johan dan Zizan Razak serta dibarisi pelakon antaranya Liyana Jasmay, Adlin Aman Ramlie, Mia Sara Shauki, Adibah Noor dan Chew Kin Wah itu, mengisahkan dua beradik Aloy dan Ale yang mengambil alih perniagaan pinjaman wang berlesen yang diamanahkan oleh bapa mereka.
Dalam perkembangan lain, Afdlin Shauki juga cuba membawa kelainan apabila menghasilkan sebuah drama bersiri tentang jenayah penipuan berjudul Din Tiger, yang dibuat berdasarkan pengalaman peribadinya dan mereka yang pernah menjadi mangsa jenayah itu.
"Saya menulis drama ini selepas saya ditipu dalam satu tawaran untuk mendapatkan dana bagi membuka stesen televisyen. Namun, saya akhirnya sedar yang saya telah diperdaya sehingga mengalami kerugian lebih RM200,000 beberapa tahun lepas.
“Ini merupakan pengalaman yang diberikan Allah SWT untuk mengajar saya... bagaimana saya, yang menganggap diri saya bijak pun boleh menjadi mangsa scam. Penipuan ini tidak memilih mangsa dan boleh berlaku pada sesiapa sahaja,” katanya.
Sebagai kelainan katanya, drama itu memaparkan sisi atau perspektif individu yang melakukan scam serta modus operandi mereka yang begitu tersusun dan licik.
pic-3
"Saya juga mendapatkan khidmat nasihat daripada dua bekas pegawai polis yang banyak memberi input dan pendedahan tentang scam serta bagaimana penipu menjalankan operasi mereka menggunakan rangkaian yang canggih.
"Saya berharap drama ini bukan sahaja dapat memberi kesedaran tetapi juga mendidik masyarakat agar lebih peka jenayah ini pada masa akan datang," katanya.
Din Tiger mengisahkan seorang scammer pakar yang bertekad untuk meninggalkan dunia kotor itu kerana mahu membina kehidupan yang lebih baik bersama-sama dengan anak dan isteri. Namun, dia masih perlu berdepan dengan musuh lamanya yang tidak mahu melepaskannya begitu sahaja.
Drama bersiri yang membariskan pelakon antaranya Josiah Hogan, Tony Eusoff, Datin Seri Nina Juren, Adam Corrie Lee, Ako Mustapha dan Mia Sara Shauki, akan ditayangkan secara eksklusif di Degup HD Saluran 120 bermula 6 Jan ini, pada 11 malam.
-- BERNAMA