SUKAN

Sze Fei-Nur Izzuddin Layak Jadi Pasangan Nombor Satu Negara - Aaron

06/01/2025 05:08 PM

KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) -- Pemain beregu lelaki negara Aaron Chia mengakui bahawa Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani layak menjadi pasangan utama negara ketika ini.

Aaron, yang bergandingan dengan Soh Wooi Yik, mengakui Sze Fei-Nur Izzuddin membuktikan keunggulan mereka selepas mencatatkan prestasi cemerlang sepanjang musim tahun lepas.

"Tidak kisah nombor satu atau dua, kami semua mewakili Malaysia juga. Prestasi (Sze Fei-Nur Izzuddin) pun amat baik kebelakangan ini dan mereka memang layak (menduduki kedudukan beregu lelaki nombor satu negara)," katanya kepada pemberita semasa sesi ujian gelanggang Terbuka Malaysia 2025 di sini hari ini.

Bulan lepas, Sze Fei-Nur Izzuddin muncul sebagai beregu utama negara apabila mereka melonjak ke tempat ketiga daripada tangga ketujuh dalam ranking dunia manakala Aaron-Wooi Yik jatuh satu anak tangga ke kedudukan keenam.

Ini merupakan kali pertama Aaron-Wooi Yik berada di kedudukan kedua dalam beregu lelaki negara sejak pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik dua kali itu menjadi pasangan utama negara pada 2019.

Sze Fei-Nur Izzuddin berjaya menjadi beregu lelaki nombor satu negara selepas pencapaian luar biasa mereka dalam kejohanan akhir Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2024 apabila mara ke final kejohanan itu sebelum tewas 17-21, 21-17, 11-21 menentang Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark di Hangzhou, China bulan lepas.

Sze Fei-Nur Izzuddin turut merangkul tiga gelaran Jelajah Dunia musim lepas, iaitu Terbuka Jepun (Super 750), Terbuka China (Super 1000) dan Terbuka Artik (Super 500).

Bagi Terbuka Malaysia 2025 yang akan berlangsung di Axiata Arena bermula esok hingga Ahad ini, Aaron berkata beliau dan Wooi Yik tidak akan memandang rendah cabaran gandingan Amerika Syarikat Chen Zhi Yi-Presley Smith pada pusingan pertama.

Sementara itu, pasangan beregu campuran utama negara Toh Ee Wei-Chen Tang Jie tidak merancang untuk meletakkan tekanan tambahan kepada diri mereka walaupun berhasrat menggembirakan peminat tempatan dalam kejohanan Super 1000 itu.

Ee Wei-Tang Jie yang kini menduduki kedudukan kelima dunia berkata mereka masih berusaha untuk meningkatkan diri masing-masing.

Pasangan pilihan ketiga itu akan membuka kempen Terbuka Malaysia 2025 menentang pasangan bukan pilihan dari Taiwan Hsuan-Yi Wu-Chu Yun Yang.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy