KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) -- Tidak hanya sekadar menceburi dunia lakonan, Mia Sara Shauki memasang impian untuk bergelar pengarah, mengikuti jejak langkah bapanya, pengarah dan penerbit popular Datuk Afdlin Shauki.
Katanya, pengalaman membesar di set penggambaran yang turut membantunya berjinak-jinak dalam penulisan skrip sejak 2015, menjadi pencetus impian itu.
“Sejak kecil saya selalu ikut bapa ke set penggambaran. Saya juga banyak belajar daripada kru penggambaran dan tahun ini memang banyak yang saya mahu lakukan.
“Selain menerima beberapa tawaran berlakon, saya juga merancang menghasilkan filem pendek sendiri... segala idea dan siapa pelakon juga sudah ada dalam kepala, dan jika percubaan itu berjaya, saya mahu ambil langkah untuk hasilkan karya yang lebih besar,” katanya ketika ditemui media baru-baru ini.
pic-2
Biarpun telah menceburi bidang lakonan sejak kecil, Mia Sara, 25, mengakui tidak dapat lari daripada bayangan populariti bapanya hingga ke hari ini.
“Selama 25 tahun saya hidup di dunia, Afdlin Shauki ialah bapa saya. Tidak mungkin saya mahu mengubah hakikat itu hanya kerana saya tidak mahu dikenali sebagai anak Afdlin Shauki,” katanya.
Namun, semakin dewasa, pelakon filem Buli itu mula memahami cabaran yang dihadapi dan sentiasa berpegang teguh pada pelbagai pesanan dan nasihat daripada bapanya.
“Semakin lama, saya boleh faham situasi dia (bapa) dan saya lihat cabaran dalam industri ini bukanlah mudah kerana ramai orang akan muncul dengan pendapat masing-masing.
“Malah, setiap apa yang dilakukan, tidak kira dari segi pembawakan diri, bahkan penampilan juga akan dihakimi,” katanya yang akan tampil dalam drama terbaharu arahan bapanya, Din Tiger.
-- BERNAMA