AM

Pulau Pinang Perkenal Rumah Mampu Milik ‘Town House’ Pertama

06/01/2025 04:10 PM

BUKIT MERTAJAM, 6 Jan (Bernama) -- Pulau Pinang memperkenalkan kategori baharu bagi rumah mampu milik yang berkonsepkan ‘co-house’ di kawasan Permatang Tinggi di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar negeri Datuk Seri S.Sundarajoo berkata ini merupakan kali pertama kerajaan negeri menerusi Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) membina rumah teres bercirikan ‘townhouse’ dalam kategori C3 Rumah Mampu Milik (RMM).

“Kita buat secara townhouse, berkonsep kediaman hibrid iaitu dalam satu tapak ada dua rumah iaitu tingkat bawah dimiliki oleh satu keluarga dan satu keluarga lain pula boleh memilih untuk memiliki tingkat atas.

“Bagi saya, memiliki sebuah rumah bertanah adalah impian setiap rakyat Pulau Pinang, justeru pembinaan rumah ini diharap dapat merealisasikan hasrat mereka tetapi pada harga mampu milik,” katanya ketika ditemui selepas majlis pecah tanah RMM Permatang Tinggi di sini hari ini.

Majlis pecah tanah itu disempurnakan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan turut dihadiri Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) Datuk Baderul Amin Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Bisnes LPNPP Fakhurrazi Ibnu Omar.

Sundarajoo berkata pemilihan kawasan Permatang Tinggi bagi memulakan projek itu antaranya adalah kerana kedudukannya yang agak jauh dari pembangunan besar-besaran selain permintaan terhadap rumah pangsa kurang di situ.

“Pada masa ini sambutan untuk rumah pangsa di sini belum ada, jadi kita mulakan projek di koridor ini secara bertanah dahulu, mungkin lama-kelamaan nanti jika kawasan ini sudah membangun dan matang kita boleh buat konsep secara rumah pangsa pula,” katanya.

Dengan harga maksimum RM250,000 seunit, projek di atas Lot 33917, Mukim 14 Permatang Tinggi itu melibatkan pembinaan 664 unit RMM di atas tanah berkeluasan 10 hektar dan mengguna pakai sistem pembinaan berindustri (IBS) dengan jangkaan siap pada 2028. 

Sementara itu, Sundarajoo berkata RMM yang akan dikenali sebagai Rumah MutiaraKu selepas ini, melambangkan nama tidak rasmi Pulau Pinang iaitu ‘Mutiara Timur’ dan ‘Pulau Mutiara’.

Beliau berkata selain meningkatkan perasaan pemilikan rumah dalam kalangan penerima RMM, penjenamaan semula itu bagi menepis stigma negatif masyarakat terhadap mereka yang mendiami kediaman berkenaan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy