JENAYAH & MAHKAMAH

Perbicaraan Kes Avitan Shalom Ditangguh Esok

06/01/2025 04:27 PM

KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) -- Perbicaraan kes seorang lelaki warga Israel, Avitan Shalom yang didakwa atas dua pertuduhan memiliki 200 butir peluru dan memperdagangkan enam senjata api di Mahkamah Sesyen di sini hari ini ditangguhkan esok, kerana ketiadaan jurubahasa Ibrani (Hebrew).

Hakim Norina Zainol Abidin membenarkan penangguhan itu selepas peguam Datuk Naran Singh yang mewakili Avitan, 39, memohon untuk mendapatkan jurubahasa berkenaan.

“Kami sedang berusaha sebaik mungkin untuk mendapatkan jurubahasa Ibrani bagi menterjemahkan keterangan daripada saksi-saksi pihak pendakwaan, tetapi pihak mahkamah tidak dapat mengesahkan tarikh. Oleh itu, setakat hari ini, saya akan menangguhkan perkara ini sehingga esok.

"Namun, bersiap sedia jika tiada jurubahasa Ibrani yang tersedia, jurubahasa mahkamah akan menterjemahkan kepada anda (Avitan) dalam bahasa Inggeris menggunakan bahasa yang mudah. Jika anda (Avitan) tidak faham, sila angkat tangan dan maklumkan kepada mahkamah bahawa anda tidak faham. Untuk hari ini, kes akan ditangguhkan hingga esok pada pukul 10 pagi," kata hakim tersebut.

Bagaimanapun, Naran tidak bersetuju sekiranya perbicaraan kes itu dijalankan tanpa jurubahasa Ibrani dan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam tidak membantah permohonan tersebut kerana ia adalah hak pihak pembelaan.

Berikutan itu, mahkamah meminta pihak pembelaan membangkitkan isu berkenaan pada prosiding esok. 

Terdahulu, Avitan yang memakai kemeja-T berwarna putih dan vest hitam tiba di mahkamah kira-kira 10 pagi dikawal ketat hampir 200 anggota polis yang ditugaskan untuk mengawal laluan masuk pintu utama mahkamah bagi memastikan keadaan keselamatan terkawal.

Mahkamah sebelum ini menetapkan perbicaraan kes itu selama 12 hari bermula hari ini sehingga 9 Jan, 13 hingga 16 Jan, serta 20 hingga 23 Jan.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Avitan didakwa memiliki sekotak Shell Shock NAS3 9mm mengandungi lapan butir peluru, tiga kotak Bullet Master Co Ltd mengandungi 150 butir peluru dan 42 butir peluru di dalam tiga senjata berlainan tanpa lesen atau permit senjata.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Avitan didakwa berdagang enam senjata api iaitu Glock 19 USA 9x19, Sig Sauer P3205P, Cougar 8000FT, Glock 17 Gen4 Austria 9x19, M&P 9C Smith & Wesson Springfield MA USA dan Stoeger Cougar 8000F. 

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun serta sebatan tidak kurang enam kali, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Ampang, di sini antara 6.46 petang pada 26 Mac dan 6 petang pada 28 Mac tahun lepas.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy