AM

Pengurusan Surau, Masjid Berusia Puluhan Tahun Disaran Periksa Sistem Pendawaian

06/01/2025 05:45 PM

MELAKA, 6 Jan (Bernama) -- Pengurusan surau atau masjid dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang di sini disaran memeriksa semula sistem pendawaian khususnya bagi premis berusia lebih puluhan tahun sebagai langkah keselamatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kesidang Allex Seah Shoo Chin berkata langkah itu bertujuan mengelak insiden litar pintas yang boleh menyebabkan kebakaran sekali gus mengancam keselamatan jemaah atau penduduk setempat.

"Sekiranya terdapat penambahan peralatan elektrik seperti penghawa dingin, pengurusan juga perlu memastikan kuasa elektrik sedia ada berupaya menampung penggunaan peralatan baharu berkenaan.

"Sebelum ini pun terdapat surau lain dalam DUN ini terbakar kerana litar pintas dan kita berharap insiden yang berpunca daripada perkara sama dapat dielakkan sekiranya langkah keselamatan diambil lebih awal," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat Surau Al-Amin Taman Limbongan Permai yang terbakar dalam kejadian kira-kira 4 pagi tadi.

Mengulas lanjut, Seah berkata perkara berkenaan akan dimaklumkan kepada Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman dan berharap peruntukan bagi membaiki surau berkenaan dapat disegerakan.

Sementara itu, pengerusi surau berkenaan Mohd Fathil, 37, berkata surau berusia 17 tahun itu berupaya menampung hingga 400 jemaah pada satu-satu masa.

Beliau berkata kawasan terjejas teruk dalam kebakaran itu ialah ruang solat utama yang terletak di bahagian tengah premis dan surau tersebut dijangka tidak dapat digunakan buat sementara demi keselamatan jemaah hingga pambaikan selesai dilakukan.

"Jemaah surau ini boleh menerusikan solat jemaah di surau atau masjid berhampiran namun kami tetap berharap pembaikan dapat segera dilakukan kerana Surau Al-Amin Taman Limbongan Permai ini turut menjadi tempat bagi pelbagai program keagamaan lain seperti mengaji serta kelas fardu ain untuk kanak-kanak dan  golongan wanita," katanya.

Dalam pada itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 5 pagi sebelum sebuah Fire Rescue Tender (FRT) dan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dengan kekuatan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah bergegas ke lokasi kejadian.

Menurut JBPM sebaik tiba di lokasi kejadian empat minit kemudian, 50 peratus daripada bumbung surau berkenaan telah terbakar namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy