Oleh Siti Noor Afera Abu
KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) -- Indeks petunjuk pasaran Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini seiring dengan prestasi lemah di pasaran serantau apabila pasaran utama di seluruh dunia kebanyakannya mencatatkan aliran negatif.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 3.99 mata atau 0.24 peratus kepada 1,625.47 berbanding paras penutup 1,629.46 pada Jumaat.
Indeks utama itu dibuka tinggi naik 0.28 mata kepada 1,629.74 dan bergerak antara paras 1,623.64 dan 1,631.71 sepanjang hari dagangan.
Suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 575 berbanding 505, manakala 489 kaunter kekal tidak berubah, 784 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 3.47 bilion unit bernilai RM2.66 bilion daripada 3.70 bilion unit bernilai RM2.87 bilion pada Jumaat minggu lepas.
Ketua penyelidikan pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata sentimen pasaran turut terjejas akibat daripada kebimbangan terhadap pertumbuhan perlahan ekonomi China, prospek kadar faedah AS dan konflik berterusan di Ukraine dan Timur Tengah.
Beliau berkata di pasaran Asia, pendekatan berhati-hati pelabur, didorong oleh kebimbangan terhadap dasar yang dicadangkan Presiden Donald Trump, termasuk kenaikan tarif ke atas import dari China dan negara lain, boleh membantutkan pertumbuhan di rantau yang sangat bergantung kepada perdagangan.
“Di pasaran tempatan, kebimbangan ini diburukkan lagi oleh prestasi bercampur-campur di pasaran serantau,” katanya kepada Bernama.
Trump dijadual mengangkat sumpah secara rasmi sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) pada 20 Jan.
Sementara itu, naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata indeks petunjuk utama itu gagal bertahan pada paras sokongan 1,630 dan pasaran dijangka terus berada dalam fasa penstabilan sehingga pemangkin baharu muncul.
“Kami berpendapat indeks itu perlu mengatasi tahap rintangan utama pada 1,615 dan mengekalkan aliran menaiknya bagi mendapatkan semula momentum kenaikan harga. Kami menjangkakan FBM KLCI berada dalam jajaran 1,620-1,640 bagi minggu ini,” katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut empat sen kepada RM10.10, CIMB turun tiga sen kepada RM8.08, Tenaga Nasional berkurangan dua sen kepada RM14.58, IHH Healthcare jatuh satu sen kepada RM7.27 manakala Public Bank naik satu sen kepada RM4.51 Velocity menokok satu sen kepada 8.0 sen, dan Top Glove menambah tiga sen kepada RM1.36.
Dalam kalangan kaunter cergas, Velesto dan MYEG turun satu sen masing-masing kepada 15.5 sen dan 97.5 sen, Ekovest susut 1.5 sen kepada 37 sen manakala Velocity naik satu sen kepada 8.0 sen dan Top Glove menokok tiga sen kepada RM1.36.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 12.48 mata kepada 12,521.15, Indeks FBM Emas Shariah susut 9.10 mata kepada 12,537.39 dan Indeks FBMT 100 jatuh 14.18 mata kepada 12,188.71.
Indeks FBM ACE meningkat 22.58 mata kepada 5,495.14 dan Indeks FBM 70 naik 36.28 mata kepada 18,903.62.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.06 mata kepada 174.51, Indeks Tenaga meningkat 3.97 mata kepada 855.27 bagaimanapun Indeks Perkhidmatan Kewangan menyusut 48.72 mata kepada 18,974.34 dan Indeks Perladangan turun 35.29 mata kepada 7,563.22.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.92 bilion unit bernilai RM2.38 bilion daripada 1.87 bilion unit bernilai RM2.56 bilion pada Jumaat minggu lepas.
Jumlah dagangan waran menyusut kepada 1.05 bilion unit bernilai RM99.53 juta daripada 1.26 bilion unit bernilai RM121.27 juta.
Jumlah dagangan Pasaran ACE turun kepada 505.90 juta unit bernilai RM174.65 juta daripada 562.64 juta unit bernilai RM187.99 juta sebelumnya.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 213.93 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (516.27 juta), pembinaan (198.22 juta), teknologi (262.24 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (48.17 juta), hartanah (228.73 juta), perladangan (30.42 juta), REIT (18.83 juta), dana tertutup (12,800), tenaga (148.20 juta), penjagaan kesihatan (168.64 juta), telekomunikasi dan media (28.15 juta), pengangkutan dan logistik (27.47 juta), utiliti (32.93 juta) dan amanah perniagaan (1.08 juta).
-- BERNAMA