SHAH ALAM, 6 Jan (Bernama) -- Seorang juruterbang terpaksa menanggung kerugian lebih RM1.36 juta selepas terpedaya dengan penipuan skim pelaburan tidak wujud melalui laman sosial Instagram.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata lelaki berusia 50 tahun itu mula menyertai pelaburan yang didakwa mampu memberikan pelbagai faedah dan pulangan wang yang lebih tinggi, pada Oktober tahun lepas.
Beliau berkata mangsa yang inginkan keuntungan dalam tempoh singkat telah diberikan satu pautan ke laman sesawang aplikasi UVKXE (https:www.uvkxewt.com) oleh suspek dan diajar cara menggunakan aplikasi terbabit.
"Mangsa tidak dijanjikan pulangan secara spesifik dan hanya diberitahu untuk melabur sebanyak yang boleh bagi mendapatkan pelbagai faedah dan pulangan yang tinggi.
"Mangsa telah melakukan transaksi kemasukan wang dari Oktober 2024 hingga Disember 2024 berjumlah RM1,366,885.00 melalui 34 transaksi ke dalam 10 akaun berlainan yang telah diberikan oleh suspek," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Hussein berkata mangsa hanya mendapatkan pulangan sekali sahaja, iaitu sebanyak RM4,300 daripada keseluruhan wang yang dilaburkan.
Beliau berkata mangsa telah dimaklumkan oleh suspek untuk melakukan pengeluaran daripada aplikasi itu dengan suspek hanya perlu menekan ikon withdrawal, memasukkan amaun yang mahu dikeluarkan dan wang akan dimasukkan ke dalam akaunnya dalam tempoh 24 jam.
"Namun, setelah suspek menekan ikon withdrawal, tiada sebarang kemasukan wang ke dalam akaunnya lalu berasa tertipu dan tampil membuat laporan polis," katanya.
Hussein berkata susulan itu, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Beliau meminta masyarakat supaya sentiasa berwaspada terhadap sebarang tawaran pelaburan di platform media sosial yang menjanjikan pulangan tidak munasabah, khususnya melalui aplikasi kewangan atau pelaburan yang tidak diluluskan oleh Bank Negara Malaysia atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
-- BERNAMA