AM

Pelesenan Media Sosial: Telegram Penyedia Ketiga Terima Lesen - Fahmi

06/01/2025 07:54 PM

KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) -- Penyedia perkhidmatan Telegram telah diberikan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Penyedia (ASP (C)) untuk beroperasi di Malaysia, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata Telegram berjaya memperoleh lesen daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada 2 Jan, menjadikannya penyedia perkhidmatan ketiga dilesenkan di bawah keperluan pelesenan bagi penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial.

“Meta yang merupakan pengendali Facebook, Instagram, dan WhatsApp ketika ini masih dalam proses penghantaran melibatkan beberapa dokumen, sebelum mendapatkan lesen.

“Tapi kita jangkakan proses itu dalam masa terdekat akan selesai,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis pertukaran dokumen perjanjian Inisiatif Kampung Digital Melaka (KDM) antara MCMC dengan Kerajaan Melaka, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Pengerusi MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Azhar Arshad.

Tencent (WeChat) menjadi penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial pertama menerima ASP (C) dan diikuti ByteDance (TikTok).

Fahmi berkata untuk pelesenan Google pula, beliau telah meminta MCMC meneruskan libat urus serta memaklumkan bahawa tindakan tetap diteruskan sekiranya terdapat perkara yang melanggar undang-undang komunikasi.

“Contohnya seperti video scam dan deepfake atau pun judi dalam talian yang dimainkan dalam YouTube, tindakan boleh diambil terhadap ketidakpatuhan dan pelanggaran undang-undang dalam negara kita.

“Undang-undang masih berkuat kuasa dan cuma kita sedang meneruskan perbincangan kerana Youtube, mereka ada pandangan yang mereka ini bukan media sosial, tapi kalau kita lihat ‘YouTube Shorts’, elemen-elemen dalam ‘YouTube Shorts’ itu mirip TikTok dan inilah antara perkara-perkara yang sedang bincang dan ia akan mengambil sedikit masa,” katanya.

Bagi platform X, (sebelum ini Twitter), beliau berkata MCMC masih menguruskan perkara itu dan memerlukan sedikit masa, berikutan sebelum ini platform berkenaan memaklumkan jumlah penggunanya di negara ini tidak mencapai nilai ambang lapan juta pengguna.

Sementara itu, mengulas mengenai majlis tersebut Fahmi berkata Kampung Digital Melaka merupakan inisiatif pertama di Malaysia dengan penggunaan kod QR, yang bertujuan memodenkan sistem alamat rumah di 623 kampung tradisional di negeri itu serta meningkatkan kualiti akses data perkhidmatan rakyat.

Beliau berkata inisiatif yang dilakukan bersama MCMC ini bukan sahaja memberi impak positif kepada Melaka malah dijangka menjadi model kepada negeri-negeri lain dalam membangunkan ekosistem digital yang lebih inklusif dan berdaya saing.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy