AM

Kepengerusian ASEAN: Kuala Lumpur, Putrajaya Sudah Sedia Jadi Tuan Rumah Mesyuarat Utama

06/01/2025 08:44 PM

KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) -- Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya sudah bersedia menjadi tuan rumah kepada kira-kira 180 mesyuarat utama yang dijadualkan berlangsung di kedua-dua lokasi itu sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata persediaan yang dilaksanakan merangkumi pelbagai aspek kritikal seperti keselamatan, kesihatan awam, pengurusan komuniti dan kesiapsiagaan menghadapi bencana.

“Langkah persediaan melibatkan kawalan keselamatan yang diperkukuhkan melalui kerjasama erat antara agensi penguatkuasaan selain perlindungan kesihatan awam turut diperkasakan bagi mencegah sebarang risiko kesihatan yang boleh menjejaskan kelancaran acara.

“Isu sosial pula akan diuruskan dengan berkesan melalui pendekatan yang proaktif di samping kesiapsiagaan bencana dipertingkatkan melalui latihan simulasi berkala serta sistem amaran awal yang lebih cekap dan responsif,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Terdahulu, Dr Zaliha mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri (JKKN) Wilayah Persekutuan yang khusus membincangkan persediaan Wilayah Persekutuan bagi memastikan setiap acara Kepengerusian ASEAN berjalan lancar.

Dalam pada itu, beliau menyeru semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan dan komuniti memberikan sokongan penuh serta kerjasama erat bagi memastikan Kepengerusian ASEAN menjadi penanda aras baharu dalam penganjuran acara bertaraf antarabangsa.

Malaysia secara rasmi mengambil alih Kepengerusian ASEAN bermula 1 Jan 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, yang mencerminkan aspirasi negara untuk membentuk ASEAN yang bersatu dan makmur.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy