AM

Melaka Hasrat Gubal Undang-undang Kecil PBT Berhubung Pemasangan QR Pada Ternakan

06/01/2025 10:00 PM

KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) -- Kerajaan Melaka berhasrat mewujudkan undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan (PBT) yang menghendaki pemilik ternakan memasang kod respons pantas (QR) pada haiwan ternakan seperti lembu.   

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata pemasangan kod QR itu bagi memudahkan pihak PBT menguatkuasakan undang-undang sekiranya ternakan mereka didapati berkeliaran hingga menyebabkan kemalangan jalan raya.

“Mereka (pemilik haiwan ternakan) kena mendaftar. Kod QR akan ada alamat rumah pada ternakan jadi kita boleh mengetahui pemiliknya dan tindakan boleh diambil,” katanya pada sidang media selepas majlis pertukaran dokumen perjanjian Inisiatif Kampung Digital Melaka (KDM) antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan kerajaan Melaka di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Pengerusi MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Azhar Arshad.

Ab Rauf berkata menerusi pelaksanaan undang-undang itu, mana-mana haiwan ternakan yang tidak didaftarkan dalam tempoh tiga bulan serta tidak dituntut pemilik sekiranya ditangkap berkeliaran, akan dilelong.

“Penggubalan undang-undang kecil ini bertujuan memastikan pemilik menguruskan ternakan mereka dengan lebih baik dan terancang menerusi kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy