EKONOMI

Swift Energy Tumpu Pelan Pengembangan Selepas Penyenaraian Sulung Di Pasaran ACE

08/01/2025 01:04 PM

KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) -- Syarikat automasi industri dan sistem kuasa, Swift Energy Technology Bhd (Swift Energy) yang membuat penyenaraian sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia hari ini bersedia dengan perancangan pengembangan berwawasan tinggi bagi mengukuhkan kehadirannya di rantau ASEAN.

Bercakap pada sidang media selepas penyenaraian itu, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Tan Bin Chee berkata, syarikat mengenal pasti beberapa bidang utama untuk pertumbuhan.

"Tumpuan segera kami adalah pada rancangan pengembangan syarikat. Pertama, kami sudah pun menyediakan tapak untuk pengembangan dengan perbincangan hampir selesai sebelum pembinaan dimulakan," katanya.

Beliau berkata, unit Swift Energy di Indonesia juga bersedia untuk aktiviti perniagaan bagi mengukuhkan jejak syarikat di seluruh rantau ASEAN.

Tan turut menyentuh mengenai matlamat jangka panjang syarikat termasuk kemungkinan untuk berpindah ke Pasaran Utama Bursa Malaysia.

"Kami masih syarikat yang kecil dan tumpuan kami sekarang adalah untuk meningkatkan pendapatan dan keuntungan perniagaan.

"Namun, matlamat kami adalah untuk mencapai skala yang lebih dikenali sebelum mempertimbangkan peralihan ke Pasaran Utama," katanya.

Penyenaraian sulung Swift Energy di Pasaran ACE menandakan tawaran awam permulaan (IPO) pertama negara untuk tahun ini.

Kaunter dibuka pada 36 sen, premium 8.0 sen melebihi harga IPO sebanyak 28 sen sesaham.

Pada 11:50 pagi, kaunter naik sebanyak 10 sen kepada 38 sen dengan lebih daripada 257.34 juta saham diniagakan.

IPO itu menyaksikan permintaan kukuh dengan bahagian awam terlebih langganan lebih 58 kali dan saham yang diperuntukkan untuk individu yang layak serta pelabur Bumiputera melanggan sepenuhnya.

--BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy