DUNIA

FOCAC Simbolik Solidariti Dan Kolaborasi China-Afrika

08/01/2025 02:52 PM

BRAZZAVILLE, 8 Jan (Bernama-CMG) -- Forum Kerjasama China-Afrika (FOCAC) menjadi simbolik solidariti dan kolaborasi antara kedua-dua pihak serta menjadi contoh kerjasama antarabangsa dengan Afrika.

Perkara itu dinyatakan Menteri Luar China Wang Yi dalam sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden Republik Congo Denis Sassou Nguesso di sini pada Selasa.

Wang berkata sejak FOCAC dilancarkan 25 tahun lepas, China membantu Afrika membina 100,000 kilometer (km) jalan raya, lebih 10,000 km rel kereta api, hampir 1,000 jambatan dan 100 buah pelabuhan.

Menurut beliau, kerjasama berorientasikan FOCAC turut menawarkan lebih sejuta peluang pekerjaan kepada rakyat Afrika dalam tempoh tiga tahun lalu.

Wang turut memperincikan rancangan China dan Republik Congo selaku pengerusi bersama FOCAC dalam melaksanakan konsensus yang dicapai sidang kemuncak FOCAC di Beijing pada tahun lepas.

Beliau berkata kedua-dua pihak sepakat memperkasa penyelarasan strategi pembangunan dan perkongsian pengalaman mengenai tadbir urus negara ke arah mencipta prospek lebih luas untuk perkembangan hubungan China-Afrika.

Selain itu, usaha akan dilakukan untuk mewujudkan penanda aras kerjasama masyarakat antarabangsa dengan Afrika, sekali gus memastikan China dan Afrika menjadi pelopor dalam membentuk hubungan antarabangsa model baharu dan komuniti berkongsi nasib sesama insan.

China dan Republik Congo juga komited melaksanakan tarif sifar membabitkan 100 peratus garis tarif, membina jaringan kesalinghubungan China-Afrika melibatkan darat dan laut serta mempergiat pelaksanaan 1,000 projek 'small and beautiful' yang berpaksikan rakyat.

Antara perkara lain yang menjadi tumpuan kedua-dua pihak adalah menambah baik mekanisme kerjasama pelaburan dan perdagangan bagi menyediakan pasaran lebih luas, teknologi lebih praktikal dan pelaburan lebih mapan untuk pemodenan Afrika.

--BERNAMA-CMG

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy