KUALA PILAH, 8 Jan (Bernama) -- Seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan melakukan sumbang mahram terhadap anak tirinya pada 2019 dan 2024.
Lelaki berusia 45 tahun itu membuat pengakuan berkenaan setelah pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Norma Ismail.
Mengikut pertuduhan yang dibaca berasingan, tertuduh telah melakukan sumbang mahram terhadap anak perempuan tirinya berusia 16 dan 21 tahun ketika kejadian, iaitu hubungan berkenaan tidak dibenarkan dalam undang-undang atau hukum agama untuk berkahwin.
Kesalahan berkenaan dilakukan pada pertengahan 2019, pertengahan November dan 6 Dis 2024 di dua lokasi berasingan iaitu di sebuah rumah di Tampin dan di sebuah bilik sewa di Tampin.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebat.
Timbalan Pendakwa raya Goh Hsiao Tung tidak menawarkan jaminan kerana mangsa dan tertuduh tinggal di alamat sama.
Hakim kemudiannya tidak membenarkan jaminan diberikan terhadap tertuduh dan menetapkan 12 Feb untuk sebutan semula kes. Tertuduh tidak diwakili peguam.
-- BERNAMA