EKONOMI

Tiada Integriti, Manipulasi Kewangan Mampu Lenyapkan Kekayaan Syarikat - Pakar

08/01/2025 06:05 PM

Oleh Mikhail Raj Abdullah

KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) -- Seorang bekas akauntan bertauliah dengan kepakaran serta pengalaman luas dalam sektor swasta, mengingatkan keuntungan besar serta kekayaan diraih sesebuah syarikat mampu dimusnahkan aktiviti penipuan serta manipulasi kuasa oleh mereka yang tidak jujur.

Panirselvam Ayadurai berkata individu tiada integriti yang berada dalam kedudukan tinggi dan mempunyai kuasa boleh menyalahgunakan kedudukan dengan memperdaya pihak lain dalam organisasi untuk menerima atau memperakui transaksi tidak sah dan menggunakan aliran tunai bagi kepentingan kewangan mereka.

“Para pemegang saham akan rugi sekiranya amalan tidak beretika ini tidak dihapuskan daripada sistem syarikat,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau yang juga seorang pensyarah, berkata demikian selepas pelancaran buku bertajuk “Essentials of Financial Accounting”.

Buku perakaunan setebal 428 muka surat itu dihasilkan bersama oleh Panirselvam dan anak perempuannya, Gayatri Panirselvam.

Panirselvam berkata antara bukti penipuan korporat termasuk pembelian aset yang tidak wujud secara fizikal atau nyata dan hanya wujud di atas kertas namun dianggap sebagai aset syarikat.

Sebagai contoh, kewujudan sebuah kereta yang pendaftarannya berkemungkinan bukan di atas nama syarikat sebaliknya di bawah pegangan individu tanpa sebarang kuasa yang sah.

Merujuk skandal kewangan besar-besaran yang menumbangkan syarikat terkemuka Enron dan WorldCom di Amerika Syarikat (AS) selain skandal sama turut berlaku di Malaysia, beliau berkata etika dalam perakaunan kewangan itu adalah penting bagi melindungi kekayaan pemegang saham selain meningkatkan lagi nilai saham.

Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan perakaunan kewangan dilakukan secara bebas tanpa campur tangan atau pengaruh tidak wajar kerana transaksi dan perkara yang berlaku adalah berdasarkan bukti dokumen sebenar dan sah.

Penipuan korporat ini, katanya, dilakukan oleh mereka yang tamak dan kekurangan moral sehingga tergamak bertindak memalsukan transaksi yang tidak wujud atau dokumen palsu bagi menunjukkan transaksi perniagaan hanya di atas kertas dan bukan secara realiti.

Enron merupakan sebuah syarikat perdagangan tenaga dan disenaraikan syarikat ketujuh terbesar di AS, namun berakhir apabila memfailkan kebankrapan pada 2001 selepas terbabit skandal kewangan terbesar dalam sejarah negara maju itu.

WorldCom yang juga sebuah syarikat telekomunikasi pula terbabit dalam salah satu skandal perakaunan terbesar.

Di peringkat tempatan, skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) menjadi kes skandal kewangan terbesar Malaysia yang membabitkan nilai mencecah berbilion ringgit.

Bagi Panirselvam, bukan sistem dan kawalan dalaman yang dipertikaikan sebaliknya figura korporat dan mereka yang tiada sikap murni dan integriti profesional sehingga tergamak melakukan aktiviti penipuan sedemikian dengan menyalahgunakan kedudukan demi mengaut kepentingan kewangan.

Atas alasan ini, beliau menegaskan kepentingan pelaporan kewangan oleh syarikat serta isu-isu bukan berkaitan lain yang boleh terjejas jika dipengaruhi oleh amalan tidak beretika.

Menurutnya, ini penting memandangkan sebarang perbuatan yang cenderung terhadap perbuatan penipuan laporan korporat, boleh memberi kesan serius terhadap syarikat, produk, perkhidmatan dan masa depan perniagaan itu.

Pada masa sama, beliau mengingatkan bahawa keadaan semasa juga membolehkan sistem komputer menjadi akses mudah untuk mencuri maklumat dan digunakan untuk tujuan mendapat kelebihan kewangan dengan menggunakan aset serta peralatan syarikat.

Berikutan itu, tegasnya, audit dalaman mempunyai tanggung jawab serius untuk memastikan semua bidang risiko kritikal organisasi tertakluk kepada pemeriksaan audit seberapa kerap mungkin.

Panirselvam berkata aspek pengesahan dan had dasar terhadap urus niaga juga perlu dikaji semula secara berkala.

Menyentuh buku perakaunan yang dilancarkan pada hari ini, beliau berkata aspek pelaporan kewangan bagi entiti swasta atau perusahaan kecil dan sederhana di Malaysia perlu diberi penekanan khusus.

Bersandarkan kepentingan itu, buku berkenaan menyediakan teks kajian yang penting sebagai rujukan penuntut perakaunan, memaparkan trend semasa dalam amalan perakaunan kewangan di Malaysia dan membolehkan pemahaman lebih baik mengenai dunia perniagaan.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy