AM

Muzium Sultan Alam Shah Dibuka Awal Februari Ini - Exco

08/01/2025 04:55 PM

Oleh Nur Khalidah Abdul Halim

SHAH ALAM, 8 Jan (Bernama) -- Muzium Sultan Alam Shah di Seksyen 14 di sini yang ditutup sejak 2019, akan dibuka semula pada awal Februari ini sempena cuti persekolahan serta Tahun Melawat Selangor (TMS) 2025.

Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor Datuk Borhan Aman Shah berkata muzium yang dikenali ‘Muzium Negeri’ itu turut diberi nafas baharu dengan mengetengahkan pelbagai tarikan seperti pameran warung era 1960-an dan alam kubur tiga dimensi (3D), dengan anggaran 100,000 pelawat mengunjungi gedung khazanah tersebut tahun ini.

Beliau berkata menerusi pameran warung 60-an, pengunjung dapat mengenali lebih lanjut sejarah makanan warisan serta budaya warung pada era tersebut.

“Kita jangkakan pameran alam kubur secara 3D menjadi antara tarikan utama daripada sekitar 20 segmen yang bakal dipamerkan untuk tatapan pengunjung nanti.

“Ini kerana kita menggunakan kesan pencahayaan serta bunyi untuk pengunjung sendiri merasai pengalaman ketika berada di situ, dengan matlamat kita untuk menambah pengetahuan serta memberi sedikit rasa insaf,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Borhan sebelum ini dilaporkan berkata Muzium Sultan Alam Shah bakal dibuka semula kepada orang ramai hujung bulan ini sempena cuti persekolahan.

Namun beliau memaklumkan pembukaan itu terpaksa ditangguhkan ke bulan hadapan susulan terdapat sedikit masalah teknikal dari segi pencahayaan hasil daripada lawatan akhir beliau ke muzium itu, semalam.

Menurut Borhan, muzium berkenaan akan mengaplikasikan teknologi terkini menggunakan sistem kod respons pantas (QR) bagi memudahkan pengunjung mengakses maklumat untuk sesuatu info pameran.

Untuk rekod, Muzium Sultan Alam Shah ditutup sejak 2019 bagi memberi laluan kepada kerja menaik taraf membabitkan tiga galeri iaitu galeri sejarah, galeri adat dan kebudayaan serta galeri alam semula jadi. 

Kerajaan negeri menyasarkan kehadiran pelancong sekitar lapan juta orang bersempena dengan TMS 2025 dengan lebih 100 acara dan program menarik dirangka di setiap daerah untuk mencapai misi tersebut.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy