DUNIA

Trump Umum Pelaburan US$20 Bilion Dari UAE Untuk Bina Pusat Data Di AS

08/01/2025 05:52 PM

WASHINGTON, 8 Jan (Bernama-Xinhua) -- Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Selasa mengumumkan bahawa dana sebanyak US$20 bilion daripada pemaju Emiriah Arab Bersatu (UAE) akan dilaburkan untuk membina pusat data di seluruh Amerika Syarikat, hanya beberapa hari sebelum pelantikannya pada 20 Jan, lapor Xinhua.

Pada sidang media di estet Mar-a-Lago miliknya di Palm Beach, Florida, Trump memberitahu wartawan bahawa pelabur itu ialah jutawan Emirat Hussain Sajwani, pengerusi hartanah DAMAC.

DAMAC Properties yang berpangkalan di Dubai, UAE, adalah antara syarikat pembangunan hartanah mewah terbesar di Timur Tengah.

"Pelaburan itu akan menyokong pembangunan pusat data baharu yang besar di kawasan Midwest, Sun Belt dan memastikan Amerika berada di barisan hadapan dalam teknologi," kata Trump.

Trump menyatakan bahawa fasa pertama pelaburan itu akan tertumpu di Texas, Arizona, Oklahoma, Louisiana, Ohio, Illinois, Michigan dan Indiana.

"Kecerdasan buatan memainkan peranan penting dalam pusat data dan ia akan menjadi fokus utama pada tahun-tahun akan datang," kata presiden terpilih itu.

Pada Disember lalu dalam satu lagi sidang media, Trump mengumumkan bahawa SoftBank Group Corp dari Jepun komited untuk melaburkan US$100 bilion di Amerika Syarikat dalam tempoh empat tahun akan datang.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy