EKONOMI

ASEAN Perlukan Perjanjian Dagangan Lebih Mendalam, Pembaharuan Domestik - Pakar

09/01/2025 01:23 PM

KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) -- Usaha dalam bentuk perjanjian perdagangan yang lebih mendalam dan pembaharuan domestik diperlukan bagi membina daya tahan ekonomi di rantau ASEAN dan Asia Pasifik Timur, terutama ketika berlaku perubahan dan ketidaktentuan secara ekstrem.

Ahli Ekonomi Kanan Pusat Penyelidikan Ketua Ekonomi Asia Timur dan Pasifik Bank Dunia Aakash Mohpal berkata ini berikutan konflik akibat krisis geopolitik yang berterusan telah memberi kesan ketara ke atas ekonomi global.

Beliau berkata ini termasuk gangguan dalam sektor pengangkutan yang menjejaskan perkapalan dengan perjalanan dari ASEAN ke Barat dan sebaliknya yang sebelum ini menggunakan Terusan Suez, kini terpaksa menempuh perjalanan lebih panjang selain menyebabkan peningkatan kos sebanyak 40 peratus.

“Pada masa sama, kadar pertumbuhan China yang lebih perlahan pula akan memberi kesan ke atas ekonomi negara pesat membangun lain, termasuk ASEAN yang akan turut menjadi perlahan.

“Ketidaktentuan dasar di seluruh dunia, (seperti) peningkatan langkah herotan perdagangan dalam bentuk subsidi dan tarif lain, turut memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi," katanya dalam sesi panel Tinjauan Ekonomi Bank Dunia bagi ASEAN di acara Persidangan Pemimpin Pemikir Ekonomi ASEAN : Tinjauan bagi 2025 di sini, hari ini.

Menjelaskan selanjutnya, Aakash juga optimis terhadap kemampuan ASEAN untuk melakukan lebih baik daripada rakan blok dalam meneruskan pembaharuan struktur lebih mendalam, meneroka pasaran baharu serta peluang bagi perdagangan yang melangkaui pasaran tradisional dan menyamai pempelbagaian China. 

Beliau turut menekan keperluan meningkatkan produktiviti, terutama seiring kepesatan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) selain menangani pertumbuhan gaji tanpa peningkatan produktiviti di negara seperti Malaysia dan Filipina.

“(Justeru) penekanan perlu diberikan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi mewujudkan ekonomi tempatan yang berdaya tahan serta memacu penciptaan pekerjaan.

“Kita perlu melabur dan mempromosi PKS tempatan dalam usaha menjadikan ekonomi lebih berdaya tahan,” katanya.

Sehubungan itu, Aakash berkata adalah penting untuk mewujudkan persekitaran pasaran yang lebih menarik, termasuk akses kepada modal, input, tenaga kerja dan modal insan.

Usaha itu juga seiring dengan dasar sosial bagi memupuk satu budaya yang melihat kegagalan sebagai sebahagian daripada proses keusahawanan dan bukannya sesuatu yang buruk atau tidak menggalakkan.

Pada masa sama, katanya, perlu wujud dasar yang lebih cenderung melindungi PKS daripada amalan antipersaingan oleh pemain lebih besar bagi memastikan PKS dapat bersaing secara berkesan.

Menurutnya, walaupun peralihan teknologi itu mencetuskan pihak yang menang dan sebaliknya, ini turut membantu dari segi penciptaan lebih banyak pekerjaan secara menyeluruh manakala kemahiran sedia ada perlu dipertingkatkan.

“Adalah penting untuk memastikan manfaat AI ini dapat dimaksimumkan menerusi persediaan tenaga kerja yang sewajarnya.

"Kemahiran digital asas dalam tenaga kerja misalnya adalah penting, walaupun bagi pekerjaan terjamin sedia ada yang memerlukan kemahiran asas komputer," katanya.

Beliau juga menekankan keperluan merombak kurikulum universiti dan menggabungkan kemahiran digital.

-- BERNAMA


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy