JENAYAH & MAHKAMAH

Bekas Petugas Syarikat Pengurusan Unit Amanah Didakwa Pecah Amanah Lebih RM263,000

09/01/2025 08:13 PM

SIBU, 9 Jan (Bernama) -- Seorang bekas petugas sebuah syarikat pengurusan unit amanah didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan pecah amanah melibatkan wang berjumlah RM263,296.12.

Alina Tommy, 32, berasal dari Kanowit didakwa melakukan perbuatan itu yang melibatkan wang pelabur antara 2020 hingga Mac 2024.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 14 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang diwakili peguam Yap Hoi Liong.

Majistret Romario Jonoi membenarkan Alina diikat jamin RM10,000 dengan dua penjamin dan menetapkan 23 Jan ini untuk sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amoirul Hakim Mohamad Zamri.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy