SUKAN

Ahmad Faedzal Tamat Khidmat KPE ISN Februari Ini

09/01/2025 05:27 PM

KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) -- Ahmad Faedzal Md Ramli akan menamatkan tempoh perkhidmatannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) Institut Sukan Negara (ISN) pada 24 Feb ini. 

Ahmad Faedzal, 47, berkata tiada kemungkinan beliau akan melanjutkan perkhidmatannya kerana beliau tertakluk kepada perkhidmatan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). 

“Saya akan tamat pada 24 Feb ini setelah genap enam tahun. Saya punya peminjaman tidak sampai Sukan Olimpik LA 2028. Saya ini Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD), jadi selepas ini JPA akan buat keputusan saya pergi ke mana. 

“Tak ada kemungkinan (sambung) sebab saya tertakluk kepada tatacara peminjaman yang selalu standard lima tahun dan kalau ada lanjutan tu, berdasarkan kes-kes tertentu,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini hari ini. 

Ditanya apakah kenangan paling manis sepanjang perkhidmatannya, Ahmad Faedzal berkata menawarkan perkhidmatan kepada atlet negara dalam tempoh COVID-19 memberinya peluang bersama pasukan untuk berfikir di luar kotak bagaimana cara bersukan di dalam keterbatasan. 

“Masa itu kita menghadapi pelbagai cabaran gelembung sukan, kemudian kita bertanding dalam situasi kuarantin. Situasi bilamana Sukan Olimpik Tokyo mempunyai prosedur operasi standard (SOP) ketat. 

“Ia adalah situasi sekali seumur hidup nak bantu atlet peringkat tertinggi dan ketika Olimpik Tokyo saya ada pergi, dan ketika itu melihat momen menimpa atlet paralimpik Muhammad Ziyad Zolkefli,” katanya. 

Pada 25 Feb 2019, Ahmad Faedzal yang ketika itu menjawat jawatan Bekas Timbalan Pengarah Bahagian Perkhidmatan Sosial, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi telah menggantikan Dr Mohd Khairi Zawi sebagai KPE ISN baharu. 

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy