AM

Jambatan Batang Lassa Dibuka Kepada Orang Ramai

09/01/2025 06:07 PM

MUKAH, 9 Jan (Bernama) -- Jambatan Batang Lassa yang menghubungkan daerah Daro dengan Pulau Bruit dibuka kepada orang ramai hari ini setelah siap sepenuhnya.

Jambatan sepanjang 2.4 kilometer (km) itu telah dibina dengan kos hampir RM600 juta dan merupakan sebahagian daripada projek Jalan Pesisir Sarawak dan Jalan Jajaran Utama Kedua Sarawak, kedua-keduanya bernilai hampir RM12 bilion. 

Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Aidel Lariwoo berkata pembinaan jambatan itu mengambil masa 48 bulan dengan pembiayaan alternatif oleh Kerajaan Sarawak.

“Selepas ini, jalan dua lorong dari jambatan ini akan dibina ke pekan Daro,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Prapelancaran Jambatan Batang Lassa hari ini.

Beliau berkata kerajaan Sarawak membina secara serentak 14 buah jambatan di laluan Jalan Pesisir dan Jalan Jajaran Utama Kedua Sarawak dan dua lagi dibina di kawasan lain.

Dua daripada jambatan berkenaan iaitu Jambatan Kemena di Jepak, Bintulu dan Jambatan Pasi di Batang Rajang, Sarikei masing-masing akan siap pada Februari dan Mac ini.

Aidel berkata tahap penyiapan Jalan Pesisir pada masa ini adalah 80 peratus manakala Jalan Utama Kedua Sarawak hampir 30 peratus.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijangka melancarkan Jambatan Batang Lassa itu pada 22 Feb depan.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy