Oleh Zarul Effendi Razali
KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) -- Ringgit mengakhiri urus niaga Khamis dengan lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), meneruskan penyusutan semalam ketika prospek ekonomi global terus memberi sokongan terhadap mata wang negara maju itu.
Pada 6 petang, ringgit susut ke paras 4.5005/5055 berbanding dolar AS daripada 4.5000/5050, semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid memberitahu Bernama Indeks Dolar AS (DXY) terus menokok dan mencecah 109.147 mata selepas Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS mengumumkan minit mesyuaratnya malam tadi.
“Daya tahan ekonomi AS serta pendirian Rizab Persekutuan AS (Fed) yang cenderung menaikkan kadar faedah, ternyata memacu pengukuhan dolar AS. Petunjuk seterusnya adalah data penggajian bukan perladangan yang akan diumumkan pada Jumaat,” katanya.
Selain itu, ringgit mengakhiri urus niaga hari ini dengan kebanyakannya mengukuh berbanding mata wang utama lain.
Ringgit bagaimanapun susut berbanding yen Jepun kepada 2.8466/8500 daripada 2.8449/8482 semalam namun mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.5271/5332 daripada 5.6020/6083 sebelum ini dan naik berbanding euro kepada 4.6382/6434 daripada 4.6431/6483.
Unit tempatan itu juga diniagakan mengukuh berbanding mata wang ASEAN lain.
Ini termasuk meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.9937/13.0142 daripada 12.9949/13.0168 sebelum ini dan mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 277.4/277.9 daripada 277.5/278.0.
Ringgit juga naik berbanding dolar Singapura kepada 3.2865/2906 daripada 3.2919/2958 semalam dan mengukuh berbanding peso Filipina kepada 7.69/7.71 daripada 7.70/7.72 sebelum ini.
-- BERNAMA