KOTA BHARU, 9 Jan (Bernama) -- Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sedang menambah baik Akta Hakmilik Strata 1985 bagi menyelesaikan isu perumahan bertingkat terutama bagi kediaman strata kos rendah dan sederhana rendah.
Menterinya Nik Nazmi Nik Ahmad berkata pihaknya menerusi Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG), Jabatan Perumahan Negara, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengadakan perbincangan menerusi sesi libat urus bagi proses penambahbaikan itu.
"Hal ini bagi memantau dan memastikan skim-skim strata yang sedang atau akan dibangunkan dapat disediakan dokumen hak milik strata mengikut kehendak perundangan semasa," katanya kepada pembeirta selepas majlis penyampaian replika pemilikan Skim Desa Seri Maju Padu Apartment, di sini hari ini.
Nik Nazmi berkata JKPTG turut menubuhkan Kumpulan Wang Amanah Tabung Khas Hakmilik Strata (TKHS) pada 2018 bagi menangani isu ketiadaan hak milik strata untuk Skim Bangunan Khas di Semenanjung Malaysia.
Beliau berkata masalah sering timbul apabila pemaju gagal memohon pecah bahagi bangunan untuk pendaftaran hak milik strata akibat kekurangan dokumen atau pemaju gulung tikar.
“Situasi ini menyebabkan pembeli unit strata terpaksa menanggung kos tambahan seperti tunggakan cukai tanah, bayaran premium tanah, kos pengukuran dan permohonan hak milik strata,” katanya.
Beliau berkata melalui inisiatif TKHS, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri boleh memohon dana daripada JKPTG untuk menyelesaikan isu pendaftaran hak milik strata bagi skim yang memenuhi kriteria tertentu.
“Sehingga 2024, TKHS telah membiayai pendaftaran hak milik strata bagi enam Skim Bangunan Khas di Semenanjung Malaysia dengan jumlah dana RM2.6 juta.
“Daripada jumlah itu, enam skim berjaya didaftarkan termasuk Desa Seri Maju Padu Apartment di Kota Bharu,” katanya.
Nik Nazmi berkata Skim Desa Seri Maju Padu Apartment menerima dana TKHS sebanyak RM90,580.48, yang diselia oleh NRES dan JKPTG.
Beliau berkata hak milik strata skim ini berjaya didaftarkan pada 1 Ogos lepas hasil kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri membabitkan 40 pembeli petak yang telah mendiami apartment itu sejak 1991.
Sementara itu, Nik Nazmi berkata NRES dan kerajaan negeri sedang memantau dakwaan berlakunya kegiatan perlombongan haram melibatkan lebih 1.2 juta hektar kawasan berpotensi memiliki unsur nadir bumi.
-- BERNAMA