JENAYAH & MAHKAMAH

Pasukan Operasi TDM Tahan 13 Pendatang Tanpa Izin Di Sempadan Negara

09/01/2025 09:00 PM

ALOR SETAR, 9 Jan (Bernama) -- Tentera Darat Malaysia (TDM) melalui Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) menahan 13 pendatang tanpa izin dalam satu operasi di kawasan sempadan Malaysia-Thailand dekat Bukit Kayu Hitam semalam.

Operasi itu dijalankan di sekitar Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia (KTJ 6 Bgd).

TDM dalam kenyataan hari ini memaklumkan tangkapan dilakukan sekitar 2 petang selepas sepasukan anggota yang menjalankan operasi mengesan lima orang pendatang tanpa izin sedang menyeberangi sungai untuk menuju ke jalan utama berdekatan sempadan Malaysia-Thailand.

TDM menyatakan pasukan operasi telah mengejar dan menahan kesemua pendatang tanpa izin itu dengan salah seorang daripada mereka telah mengalami kecederaan kecil apabila terjatuh semasa cubaan melarikan diri.

“Pasukan itu seterusnya berjaya menahan lapan lagi pendatang tanpa izin yang sedang bersembunyi di kawasan berdekatan menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan seramai 13 orang,” kata TDM.

Hasil pemeriksaan mendapati kesemua 13 pendatang tanpa izin itu terdiri daripada 12 orang warganegara Myanmar dan seorang warganegara Thailand serta tidak memiliki pasport dan dokumen perjalanan yang sah.

Mengikut TDM, pasukan operasi turut merampas sejumlah wang tunai dan 14 unit telefon bimbit dengan nilai keseluruhan dianggarkan lebih RM16,000 dan kesemua pendatang tanpa izin yang ditahan diserahkan ke Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan selanjutnya.

TDM berkata pihaknya terus komited bagi memastikan keselamatan di sempadan negara dan tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan dan penyeludupan.

“Pasukan beroperasi akan terus mempertingkatkan rondaan dan kawalan di sempadan bagi mengekang jenayah rentas sempadan, khususnya melibatkan pendatang tanpa izin,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy