AM

Maritim Malaysia Dipilih Perintis Integrasi AI Dalam Pengoperasian

09/01/2025 09:15 PM

PUTRAJAYA, 9 Jan (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dipilih sebagai salah satu jabatan di bawah Kementerian Dalam Negeri sebagai perintis pengintegrasian teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam pengoperasian.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata penggunaan teknologi AI bukan sahaja akan meningkatkan keberkesanan operasi, tetapi juga menggalakkan penggunaan teknologi moden dalam menjamin kesejahteraan negara.

"AI adalah satu pendekatan baharu yang perlu diberikan perhatian oleh semua warga Maritim Malaysia, khususnya pengurusan atasan agensi ini. 

"Ini kerana AI akan menjadi pemangkin kepada reformasi operasi Maritim Malaysia," katanya dalam kenyataan berhubung ucapannya pada Majlis Amanat Tahun Baharu Ketua Pengarah Maritim Malaysia di sini hari ini.

Dalam kenyataan sama, Mohd Rosli berkata Maritim Malaysia menerima peruntukan berjumlah RM400 juta bagi tujuan pembaikan serta penyelenggaraan aset laut dan udara pada tahun ini.

Beliau turut menyatakan kepentingan hubungan strategik dengan penguat kuasa negara luar seperti Indonesia, Thailand, US Coast Guard, Japan International Cooperation Agency (JICA) dan Singapore Coast Guard.

"Kerjasama erat begitu penting dalam memperkukuhkan keselamatan perairan negara daripada pelbagai ancaman rentas sempadan seperti perkongsian maklumat cubaan masuk Pendatang Tanpa Izin ke dalam negara," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy