GENEVA, 9 Jan (Bernama-WAFA) -- Palang Merah Antarabangsa pada Rabu, menyeru agar penghantaran bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza dilakukan dengan selamat dan tanpa halangan, yang kanak-kanak menghadapi kematian akibat cuaca sejuk, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).
Hujan lebat dan banjir membanjiri tempat perlindungan sementara yang menempatkan ratusan ribu orang yang dipindahkan, dengan paras air mencecah 30 cm di dalam khemah, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Persekutuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa.
Setiausaha Agung Persekutuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa Jagan Chapagain memberi amaran dalam kenyataan media, “tanpa akses yang selamat, kanak-kanak akan mati kesejukan dan tanpa akses yang selamat, keluarga akan kelaparan,” sambil menekankan bahawa tanpa akses yang selamat untuk penghantaran bantuan, “pekerja bantuan tidak dapat menyelamatkan nyawa.”
Beliau menambah, “Rayuan mendesak saya kepada semua pihak adalah untuk mengakhiri penderitaan kemanusiaan ini sekarang,” dan Persekutuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa mengesahkan yang lapan kanak-kanak maut akibat kesejukan.
“Laporan PBB tentang kanak-kanak yang maut akibat hipotermia di Semenanjung Gaza menunjukkan betapa seriusnya krisis kemanusiaan ini,” kata Chapagain.
Beliau mengulangi “seruan mendesak untuk akses yang selamat dan tidak terhalang untuk pekerja kemanusiaan agar mereka dapat menyampaikan bantuan yang mampu menyelamatkan nyawa.”
Penduduk yang dipindahkan di Gaza hidup di khemah sementara, menderita kekurangan makanan, air, bahan bakar dan ubat-ubatan dengan PBB sejak berbulan-bulan yang lalu memberi amaran mengenai kebuluran di kawasan enklaf yang miskin, musnah dan padat penduduk, selain terdedah kepada serangan berterusan Israel di Semenanjung Gaza.
-- BERNAMA-WAFA