KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) -- Selepas berjaya dengan Konsert Solo pada Jun tahun lepas, Slam kembali ke Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP) dengan satu lagi konsert yang dijadualkan pada 22 Feb depan.
Kali ini kumpulan rock popular 90-an yang dianggotai Shah, Lili, Eddie, Man dan Zamani itu bakal berkolaborasi dengan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) di bawah pimpinan Ahmad Muriz Che Rose.
DFP dalam satu kenyataan, berkata MPO akan membawa legasi muzik tempatan ke tahap lebih tinggi melalui konsert “Slam Bersama MPO” itu yang turut menyajikan orkestral bagi lagu malar segar seperti Mentari Muncul Lagi, Manisnya Rindu dan Kembali Terjalin.
“Di bawah pimpinan Ahmad Muriz Che Rose, konsert ini akan menyerlahkan versatiliti MPO dalam mempersembahkan muzik pop tempatan selain daripada genre muzik klasikal Barat,” demikian menurut kenyataan itu.
Untuk tempahan tiket, peminat boleh hubungi talian 03-23317007 atau menerusi e-mel ke boxoffice@dfp.com.my atau laman web www.mpo.com.my.
-- BERNAMA